Dugaan lima beradik, hilang ibu dan ayah kandung dalam tempoh 2 bulan

Dugaan lima beradik, hilang ibu dan ayah kandung dalam tempoh 2 bulan

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Bagaikan jatuh ditimpa tangga. Demikian nasib lima beradik yang menjadi yatim piatu apabila bapa mereka maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 213.2 Lebuh Raya Utara Selatan, awal pagi hari ini.

Difahamkan ibu mereka, Normala Paisaluddin yang juga seorang guru baru sahaja meninggal dunia pada 5 Jun lalu akibat sesak nafas.

Ibu saudara mereka, Nur Hayaty Md Ramli, 39, berkata, dia menerima berita mengejutkan itu apabila dihubungi pegawai polis jam 6.30 pagi.

Katanya, sebelum itu seorang lelaki pekerja penarik kereta ke rumahnya di Batu 12, Sungai Udang, di sini, dan memaklumkan adik lelakinya, Mohd Firdaus, 38, parah akibat kemalangan dan dirawat di Hospital Alor Gajah (HAG).

“Selepas itu seorang Inspektor menghubungi saya dan memberitahu adik dan meminta kami hadir di HAG.

“Kami sekeluarga amat terkejut namun, reda Allah lebih menyayanginya,” katanya sebak ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik HAG, di sini, hari ini.

Mohd Firdaus yang juga Penolong Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Melaka Tengah meninggal dunia akibat digilis selepas motosikal berkuasa tinggi Yamaha MT09 Tracer ditunggangnya terbabit kemalangan di Kilometer 213.2, arah selatan dekat sini, jam 3.20 pagi.

Arwah meninggalkan lima anak iaitu tiga lelaki dan dua perempuan berusia 13, 11, enam dan sembilan tahun serta sembilan bulan.

Nur Hayaty berkata, kali terakhir dia bertemu Mohd Firdaus yang juga anak ke-11 daripada 12 beradik jam 5 petang semalam sebelum arwah ke Kuala Lumpur dengan menunggang motosikal.

“Kami tidak pasti ke mana arwah pergi kerana hanya diberitahu mengikut bosnya ke Kuala Lumpur dan kami ingat dia menaiki kereta.

“Saya ada menghantar mesej WhatsApp bertanya sama ada dia sudah balik atau sebaliknya pada 10.47 malam, dan dibalas pada 11 malam.

“Namun saya hanya sempat baca mesej itu jam 5 pagi selepas emak beritahu arwah belum balik dan memaklumkan masih berada di Kuala Lumpur ketika itu,” katanya.

Nur Hayaty berkata, selepas kematian isteri, adiknya sekeluarga berpindah ke rumah ibu mereka di Sungai Udang.

“Sayalah yang bantu dia uruskan hal anak-anaknya termasuk hantar dan ambil dari sekolah kerana arwah sudah bertukar tempat kerja dari PDT Alor Gajah ke PDT Melaka Tengah di Ayer Keroh.

“Selain uruskan persekolahan dan kebajikan, saya juga sedang mencari pengasuh untuk anak bongsu arwah berusia sembilan bulan.

“Kehilangan adik memang suatu yang amat mengejutkan di kala kami sekeluarga masih bersedih dengan pemergian mengejut adik ipar bulan lalu,” katanya yang bertekad untuk menjaga anak saudaranya sebaik mungkin.

Ditanya mengenai arwah, Nur Hayaty berkata, adiknya seorang yang ceria dan penyayang terhadap anak-anak tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum kejadian.

“Sama ada dia sorok (kesedihannya) selepas kematian isteri saya tidak pasti, tapi seingat saya arwah ada mengadu kerap diserang sakit kepala dan mengalami tekanan darah tinggi selepas menyertai sukan tarik tali bulan ini.

“Selepas pemeriksaan di klinik kesihatan doktor beri ubat sakit kepada bagi tempoh sebulan ini bagi menilai tahap tekanan darahnya,” katanya.

Beliau berkata, jenazah adiknya selamat disemadikan di Pusara Abadi, Batu 11 1/2, Sungai Udang, jam 4.15 petang dan mereka sekeluarga turut merayu saksi kejadian tampil menyalurkan maklumat termasuk rakaman papan pemuka kenderaan jika ada kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Seorang rakan baiknya, Aziz Isnin,55, berkata, sepanjang hampir lima tahun berkawan, Mohd Firdaus disifatkan seorang yang baik dan mudah mesra.

“Sepanjang bertugas di Alor Gajah, arwah kerap pelawa saya minum bersama pada masa lapang. Namun selepas dia berpindah tempat kerja, kami jarang berjumpa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top