Paris: Perancis mara ke peringkat kalah mati ragbi tujuh sebelah Sukan Olimpik Paris tetapi bergelut menepati status sebagai pasukan pilihan kejohanan manakala Fiji tiada masalah menyerlahkan kehebatan mereka.
Les Bleus diperkuatkan dengan Antoine Dupont yang dianggap pemain terhebat dalam saingan 15 sebelah tetapi mereka hanya mampu seri 12-12 dengan Amerika Syarikat pada aksi pertama disusuli kemenangan 19-12 ke atas Uruguay dalam Kumpulan C.
Dupont menerima tepukan paling gemuruh selepas dia meluru pantas daripada tengah padang sebelum melakukan try. Dalam aksi sengit itu, Perancis mendahului perlawanan tetapi gagal mengekang kebangkitan Uruguay.
Namun kepantasan Jefferson-Lee Joseph memecahkan kebuntuan sekali gus melegakan 60,000 penyokong tuan rumah.
“Jika kami tidak meningkat tahap permainan, kami tidak akan pergi jauh. Kami tahu itu dan kami sebenarnya mampu melakukan dengan lebih baik lagi,” kata Dupont selepas tamat perlawanan.
Fiji pula yang meraih kedua-dua pingat emas sejak ragbi dipertandingkan di Olimpik Rio 2016 berdepan kemerosotan sejak akhir-akhir ini.
Namun raja tujuh sebelah itu kembali menyerlah di bawah kendalian jurulatih baharu Osea Kolinisau dengan membelasah Uruguay 40-12 dan menjadikan AS mangsa seterusnya dengan kemenangan 38-12.
© New Straits Times Press (M) Bhd