Jom kenduri durian tepi tasik Putrajaya

Jom kenduri durian tepi tasik Putrajaya

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Orang ramai tidak harus melepaskan peluang merasai buah durian gred tinggi pada harga berpatutan di Dataran Putrajaya, Presint 3 di sini, sehingga Ahad ini.

Melalui aktiviti `Jom Kendurian Putrajaya’, Perbadanan Putrajaya (PPj) menawarkan pengunjung menikmati durian daripada pelbagai jenis paling popular.

PPj melalui kenyataan di Facebook rasminya berkata, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai jenis durian terbaik dan menu berasaskan durian seperti cendol dan pulut durian.

Katanya, sepanjang empat hari program berlangsung, pelbagai aktiviti permainan tradisional turut dianjurkan seperti tarik tali, terompah gergasi, lambung belon air dan banyak lagi.

“Sambil merasai pengalaman kendurian, orang ramai juga boleh bersantai di Dataran Putrajaya bersama keluarga dan rakan,” katanya.

Sebelum ini inisiatif penganjuran kenduri durian disuarakan Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud ketika menghadiri Putrajaya Park’s Day 2024 di Taman Warisan Pertanian 22 Jun lalu.

Katanya, inisiatif ini dapat membantu mempromosikan durian yang boleh disifatkan buah paling popular di Malaysia menerusi pesta berkenaan.

“Selain itu ia dapat memberi peluang kepada penduduk dan pengunjung untuk mendapatkan bekalan segar dari ladang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top