harisfadli@hmetro.com.my
Rawang: Seorang pemandu lori kontena maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (km) 441.2 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), di sini awal pagi hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.02 pagi.
Menurutnya, sebuah jentera dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian bersama pasukan perubatan kecemasan (EMRS).
“Komander Operasi melaporkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu lori kontena, treler dan Proton Persona.
“Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun di dalam lori kontena tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat kira-kira 6.51 pagi.
Katanya, dua lagi mangsa yang juga lelaki tempatan mengalami cedera ringan diselamatkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
© New Straits Times Press (M) Bhd




