am@hmetro.com.my
Ipoh: Terpedaya dengan kenalan wanita yang baru tiga hari dikenali di media sosial, seorang lelaki bukan sahaja kecewa perasaannya dipermainkan, malah diugut gambar dan video bogelnya ditularkan.
Lelaki yang mahu dikenali sebagai Teh, (bukan nama sebenar), 47, berkata, semua itu akan ditularkan jika dia enggan menuruti arahan wanita terbabit yang memintanya memindahkan sejumlah wang ke akaun bank dinyatakan.
Mengimbau perkenalan itu, Teh berkata, dia mengenali wanita terbabit menerusi Facebook (FB), 25 Julai lalu.
Lelaki bujang itu berkata, dia kemudiannya berbalas mesej
wanita terbabit menerusi ‘FB Messenger’ kerana terpikat dengan gambar profil memaparkan wajah wanita jelita.
“Pada jam 11 malam, 27 Julai lalu, ketika saya berada di rumah di Ipoh, saya menerima panggilan video daripada wanita terbabit.
“Dia meminta saya berbogel memandangkan kami akan menjadi pasangan kekasih sebelum saya menuruti kemahuannya.
“Tiba-tiba, wanita itu mengugut mahu menyebarkan rakaman video bogel saya di media sosial dan meminta saya menyerahkan sejumlah wang kepadanya,” katanya pada sidang media di Medan Gopeng, di sini, semalam.
Menurut Teh, Ahad lalu, dia turut menerima mesej ugutan daripada nombor tidak dikenali di aplikasi WhatsApp yang memintanya memasukkan RM3,000 ke akaun bank dinyatakan.
“Dia mengugut akan menyebarkan gambar panggilan video berkenaan.
“Setakat ini (semalam), saya tidak memindahkan wang ke akaun bank terbabit kerana tiada duit,” katanya yang sudah membuat laporan polis kerana bimbang terus diperas ugut.
Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak Mohd Rawi Abdullah berkata, pihaknya kerap menerima aduan berkaitan ugutan membabitkan pemindahan wang ke akaun bank didalangi ‘scammer’.
“Akaun bank digunakan sindiket termasuk kes yang dihadapi Teh dipercayai milik keldai akaun.
“Gambar profil FB penipu itu menunjukkan wanita Tionghua, namun apabila kita semak nombor akaun bank yang diberikan kepada Teh, kita dapati penama akaun itu adalah wanita Melayu, ini berkemungkinan keldai akaun,” katanya.
Menurutnya, pihaknya meminta orang ramai supaya tidak menyerahkan atau meminjamkan akaun bank kepada pihak lain kerana ia berisiko disalahgunakan sindiket.
“Pada masa sama, kita harap polis dan pihak berkuasa berkaitan dapat menahan penjenayah ini untuk diadili,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



