Kuching City 'cakar' Bos Gaurus di Ipoh

Kuching City 'cakar' Bos Gaurus di Ipoh

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kuching City berjaya menamatkan ‘badi’ dan mendapatkan kemenangan pertama di tempat lawan selepas membenam Perak FC 2-1 dalam saingan Liga Super 2024/2025 di Stadium Perak, sebentar tadi.

Bermain di tempat lawan bukan mudah buat mereka apatah lagi keadaan padang yang becak akibat hujan lebat sebelum perlawanan.

Skuad The Bos Gaurus bermain di halaman sendiri bermula lebih garang apabila membuka tirai jaringan awal minit ketujuh menerusi ketua pasukan, Wan Zack Haikal selepas melepaskan rembatan diluar kotak untuk mendahului 1-0.

Tersentak dengan jaringan awal itu, Kuching City kembali menyusun rentak permainan dan berjaya mencipta gerakan tetapi masih gagal mendapatkan jaringan.

Meskipun ketiadaan ketua pasukan, Luciano Guaycochea di bahagian tengah namun Perak FC tetap mempamerkan saingan dengan melakukan serangan dari kiri dan kanan dan berjaya kucar-kacir barisan pertahanan pelawat.

Aidil Sharin Sahak melakukan pertukaran awal dengan memasukan Shamie Iszuan untuk menambah sengat di bahagian barisan hadapan dan rentak permainan mereka jelas berbeza di separuh masa kedua apabila kelihatan lebih menguasai sebahagian besar perlawanan.

Usaha demi usaha mencari gol penyamaan akhirnya membuahkan hasil apabila berpunca dari satu sepakan sudut, Jordan Mintah yang tidak di kawal oleh pemain Perak FC berjaya memanfaatkan hantaran rakan sepasukan untuk meledak jaringan melalui tandukan pada minit ke-69 menjadikan kedudukan 1-1.

Bagai mendapat tonik tambahan, anak buah Aidil Sharin terus melancarkan serangan dan selang tujuh minit kemudian, giliran Tchetche Kipre untuk meletakkan Kuching City di hadapan mendahului 2-1.

Meskipun Perak FC cuba meningkatkan serangan di hujung permainan bagi mencari sekurang-kurangnya satu mata tetapi kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan.

Kemenangan ini membolehkan Kuching City berada di kedudukan keempat liga dengan 10 mata selepas tujuh perlawanan sementara Bos Gaurus berada di tangga kesembilan liga dengan enama mata.

Untuk rekod, Perak FC terus bergelut untuk mendapatkan mata dan kemenangan pertama mereka dihadapan penyokong sendiri selepas tiga perlawanan bermain di Stadium Perak berakhir dengan kekalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top