AFP
Riyadh: Arab Saudi iatu satu-satunya negara membida Piala Dunia 2034, akan menjadi tuan rumah kejohanan membabitkan 48 pasukan di lima bandar, termasuk lapan di ibu kota, menurut media negara itu.
Pengumuman terbabit dibuat beberapa hari selepas kerajaan mengemukakan bidaan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Arab Saudi merancang untuk menjadi tuan rumah “edisi terbesar yang pernah ada” kejohanan itu di satu negara, menurut buku bidaan, yang terperinci dalam laporan Agensi Berita Saudi (SPA).
Buku bidaan menggariskan lima bandar yang dicadangkan untuk kejohanan itu, termasuk ibu kota Riyadh, bandar Red Sea Jeddah, Al Khobar, Abha, dan NEOM, sebuah bandar futuristik bernilai 500 bilion USD, menurut SPA.
Mereka akan menampilkan 15 stadium canggih, sebelas daripadanya adalah baru, kata agensi itu. Riyadh akan mempunyai lapan stadium, termasuk Stadium King Salman yang baru, yang akan menampung lebih 92,000 penonton dan dijadualkan menjadi tuan rumah perlawanan pembukaan dan akhir kejohanan, kata SPA.
Sebagai satu-satunya pembida, Arab Saudi dilantik sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034 pada Oktober lalu oleh Fifa selepas negara jirannya yang kaya dengan gas iaitu Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia pertama di Timur Tengah dengan kos yang menakjubkan 220 bilion USD, termasuk infrastruktur yang berkaitan.
Untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia membabitkan 48 pasukan, kerajaan memerlukan 14 stadium tempat duduk penuh yang mampu menampung sekurang-kurangnya 40,000 orang, menurut dokumen bidaan. Pada masa ini, mereka hanya mempunyai dua Stadium King Abdullah Sports City di Jeddah dan Stadium King Fahd International yang berusia di Riyadh namun sedang menjalani pengubahsuaian besar.
Infrastruktur adalah kebimbangan awal untuk kerajaan yang kaya dengan minyak, yang sedang berusaha menganjurkan sukan berprofil tinggi dalam usaha untuk menghapuskan imej konservatifnya dan menarik pelaburan asing.
Menjelang Piala Dunia bermula, negara padang pasir dengan 32 juta penduduk itu akan menjadi tuan rumah Piala Asia 2027 dan juga Sukan Musim Sejuk Asia 2029, keputusan yang dikritik oleh organisasi alam sekitar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




