bhnews@bh.com.my
BAGAN SERAI: Hala tuju PAS sama ada kekal bersama Muafakat Nasional (MN) atau menyokong Perikatan nasional (PN) hanya boleh ditentukan oleh dua individu iaitu Presiden dan Setiausaha Agung parti itu.
Susulan itu, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berkata pihaknya hanya menunggu arahan daripada pihak atasan berhubung perkara itu sebelum tindakan lanjut diambil.
Katanya, buat masa ini, PAS Perak mengambil pendirian memperkukuhkan dan terus mempertahankan MN.
“Kalau arahan pihak atasan kata kahwin (menyokong), kita kahwinlah, kalau cerai, kita cerailah.
“Setakat ini, kita terus memperkukuh dan mempertahankan MN sehingga ada satu keputusan baharu dibuat pihak atasan,” katanya selepas merasmikan dewan terbuka Surau Al Faizin dan pelancaran Urban Farming di Taman Serai Permai, di sini, hari ini.
Razman berkata, hubungan antara PAS dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan UMNO di Perak juga berjalan seperti biasa serta tetap kekal dengan prinsip masing-masing.
© New Straits Times Press (M) Bhd




