Sepanyol kecewakan Jepun, Maghribi menanti di separuh akhir

Sepanyol kecewakan Jepun, Maghribi menanti di separuh akhir

Paris: Dua gol menarik Fermin Lopez dari Barcelona membantu Sepanyol meraih kemenangan 3-0 ke atas Jepun sekali gus menempah tiket ke separuh akhir bola sepak lelaki Sukan Olimpik Paris 2024, hari ini.

Lopez, anggota skuad Sepanyol yang memenangi Euro 2024, meledak gol pembukaan dengan sepakan kaki kiri dari jarak jauh pada minit ke-11 pada aksi suku akhir menentang Jepun di Lyon.

Pemain tengah berusia 21 tahun itu meledak sekali lagi pada minit ke-73 dengan satu gol berkualiti apabila dia mengawal satu sepakan sudut Sergio Gomez sebelum merembat voli dari penjuru kotak penalti, tetapi kali ini dengan kaki kanannya.

Kapten Abel Ruiz melengkapkan kemenangan itu selepas benteng pertahanan Jepun gagal menangani satu lagi sepakan sudut Gomez.

Juara Olimpik pada 1992 dan pemenang pingat perak tiga tahun lalu di Tokyo, Sepanyol kini akan ke Marseille untuk perlawanan separuh akhir, Isnin ini menentang Maghribi, yang melakar kemenangan meyakinkan 4-0 ke atas Amerika Syarikat (AS) di Paris.

Maghribi yang menerima sokongan padu penyokong mereka di Parc des Princes, nyata terlalu kuat untuk AS.

Soufiane Rahimi membuka jaringan menerusi sepakan penalti sebelum Ilias Akhomach dan kapten, Achraf Hakimi menambah gol lagi pada separuh masa kedua.

Satu lagi sepakan penalti oleh Mehdi Maouhoub memastikan kemenangan Maghribi.

Selepas mengungguli peringkat kumpulan mengatasi Argentina, Maghribi dilihat sebagai pencabar serius untuk meraih pingat emas di Paris pada 9 Ogos.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top