saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia meneruskan pemburuan untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila berjaya mara ke pentas separuh akhir.
Dia melakukannya selepas menewaskan pemain nombor tiga dunia dari Denmark, Anders Antonsen 21-12, 21-15 dalam tempoh 53 minit pada aksi suku akhir di Porte de La Chapelle Arena, hari ini.
Aksi di set pertama cukup sengit apabila kedudukan mata tidak terpisah jauh membabitkan kedua-dua pemain namun Zii Jia mempamer aksi lebih tenang untuk melakar kemenangan.
Set kedua menyaksikan Zii Jia mula menjarakkan diri di awal permainan apabila memanfaatkan kesilapan demi kesilapan dilakukan oleh Antonsen sebelum melakar kemenangan mutlak.
Dengan kemenangan itu, Zii Jia juga memperbaiki rekod pertemuan antara mereka apabila mencatatkan empat kemenangan daripada sembilan pertemuan.
Pemain yang menduduki ranking ketujuh dunia itu yang disandarkan untuk memenangi pingat buat kontinjen negara, akan bertemu jaguh Thailand, Kunlavut Vitidsarn di separuh akhir.
Kunlavut melangkah ke separuh akhir selepas melakar kejutan menewaskan pemain nombor satu dunia, Shi Yuqi 21-12, 21-10 pada aksi suku akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




