Athletic FC kian mantap

Athletic FC kian mantap

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih PT Athletic FC, Nazrulerwan Makmor melihat skuad kendaliannya semakin menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan di saingan Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank musim ini.

Jelasnya, kemenangan 1-0 ke Melaka FC dalam perlawanan semalam ternyata memberi motivasi tambahan buat pemain untuk terus mempamerkan prestasi terbaik dalam perlawanan akan datang.

Tambahnya, beliau juga memuji pemain apabila memanfaatkan peluang yang terhidang dan situasi itu terjadi seperti mana di dalam latihan mereka sebelum itu.

“Alhamdullilah atas kemenangan ini dan saya beri kredit kepada mereka (pemain) yang menunjukkan prestasi yang terbaik. Setakat ini, saya lihat dua ke tiga perlawanan pemain menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan.

“Kalau kita lihat gol itu, minggu ini kita adakan latihan ‘shooting’. Jadi Norshamil Abd. Ghani telah menggunakan peluang yang terhidang (seperti dilakukan di dalam latihan) dan alhamdulillah, kami dapat menjaringkan gol itu,” katanya selepas tamat perlawanan.

Namun begitu, Nazrulerwan mengingatkan pemain agar kekal fokus bagi memastikan mereka sentiasa berada dalam landasan terbaik untuk menamatkan saingan liga musim ini di kedudukan teratas liga.

“Bagi saya, perjalanan masih jauh lagi dan kita akan fokus perlawanan demi perlawanan. Alhamdulillah, kita meningkat dari satu perlawanna ke satu perlawanan. Jadi, insya-Allah kita akan cuba yang terbaik untuk berada di kedudukan tiga teratas liga,” katanya.

Terdahulu, jaringan tunggal Norshamil pada minit ke-44 sudah cukup untuk memastikan PT Athletic mendapatkan tiga mata penting ke atas Melaka FC untuk berada di kedudukan keempat liga selepas tujuh perlawanan dan tidak jauh dipisahkan dengan kedudukan teratas liga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top