PIB Shah Alam sia-siakan peluang daki carta liga

PIB Shah Alam sia-siakan peluang daki carta liga

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: PIB Shah Alam terlepas peluang untuk berada di kedudukan kedua liga selepas tewas 1-2 kepada Machan FC dalam saingan Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank di Stadium Negeri Sarawak, semalam.

Menurut pengendali pasukan, Muhamad Azrin Mohamed, beberapa kesilapan dalam perlawanan itu menyebabkan mereka tewas sekali gus gagal mendapatkan mata penuh seperti yang diharapkan untuk berada dalam kedudukan yang lebih baik.

Namun begitu, baginya perjalanan liga masih panjang dan mereka akan bangkit dalam perlawanan akan datang selain beliau sudah mula melakukan beberapa pertukaran pemain bagi mengelak kecederaan berlaku.

“Peluang itu sepatutnya kami guna. Tapi para pemain tak dapat menjelmakan apa yang kita harap. Tapi perjalanan liga masih ada 20 perlawanan.

“Jadi kami kena tengok juga sebab sekarang sudah lapan perlawanan, ada yang kena gantung, yang menghitung kad dan ada pemain yang cedera.

“Perubahan pemain juga sudah mula dilakukan dan ada sesetengah posisi itu, kita lakukan pertukaran sikit,”katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu, skuad bimbingan Azrin terlebih membuka tirai jaringan pada minit ke-11 menerusi Idris Ahmad, tetapi Machan FC yang beraksi di tempat sendiri berjaya bangkit untuk mendapatkan dua gol melalui Azman Chuchu minit ke-50 dan Afiq Yunus minit ke-78.

Ketika ini, PIB Shah Alam berada di tangga kelima liga dengan 14 mata dan hanya dibezakan dua mata dengan pasukan kedua liga, Melaka FC.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top