mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bintang muda berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mampu melakar kejutan pada penampilan sulung di pentas Sukan Olimpik Paris 2024.
Walaupun tidak diletakkan sebarang harapan membawa pulang pingat untuk negara, Nurul Izzah tampil tanpa sebarang tekanan seterusnya berkemampuan mempamerkan aksi positif pada penampilan sulung kelak.
Situasi terbabit diakui bekas pelumba negara, Josiah Ng dan Sayuti Zahit yang melihat kebolehan dimiliki Nurul Izzah mampu mengejutkan nama besar lain.
Josiah berkata, segala kemungkinan boleh berlaku terutama pelumba kurang ternama seperti Nurul Izzah melakukan kejutan dengan memperoleh keputusan positif dalam acara keirin.
“Saya sudah menyaksikan beberapa klip video membabitkan Nurul Izzah dan melihatnya cukup berbakat seperti Fatehah Mustapa.
“Apa saja boleh berlaku mungkin dia boleh melepasi hingga peringkat separuh akhir atau hanya di peringkat saingan saja. Segalanya boleh berlaku,” katanya.
Nurul Izzah adalah projek jangka masa panjang. Jika dia melepasi pusingan pertama, seharusnya kita berbangga dengan pencapaian itu,” katanya.
Sementara itu, Sayuti berkata, status Nurul Izzah sebagai ‘underdog’ memberi kelebihan untuknya mempamerkan aksi luar biasa pada saingan pusingan pertama.
“Walaupun Nurul Izzah masih baru, John Beasley (pengarah teknikal program kebangsaan) membawanya ke siri Piala Dunia serta Kejohanan Dunia, jadinya dia sudah mempunyai pengalaman di peringkat tertinggi,” katanya.
Mengikut rekod, pelumba muda berusia 20 tahun itu boleh dikatakan antara pelumba pecut trek terkemuka di Asia selepas memenangi dua emas, satu perak dan satu gangsa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi pada Februari lalu.
Nurul Izzah akan mulakan kempennya di Paris dalam acara keirin wanita di Saint Quentin en Yvelines pada Rabu ini manakala kategori pecut individu wanita akan bermula Jumaat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




