mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia tidak mahu lagi meratapi kekalahan di peringkat separuh akhir kepada Thailand Kunlavut Vitidsarn apabila meneruskan misi memburu pingat gangsa untuk Malaysia, esok.
Zii Jia berkata, kekalahan kepada wakil Thailand itu bukanlah pengakhiran buat dirinya dan akan perbaiki setiap kelemahan untuk tampil lebih menyakinkan pada perlawanan terakhir itu.
“Bukan senang atau berpeluang untuk beraksi hingga ke separuh akhir. Malah, bukan senang juga berlawan merebut tempat ke penentuan pingat emas atau perak.
“Saya perlu memandang ke depan. Apa yang boleh saya katakan adalah bangga kerana tidak mudah mengalah dan berjuang hingga akhir perlawanan.
“Ini bukanlah pengakhiran buat saya kerana ada lagi perlawanan untuk penentuan pingat gangsa,” katanya, kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Terdahulu, pemain yang menghuni ranking ketujuh dunia tewas straight set kepada Kunlavut 14-21,15-21. Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, Paris, menyaksikan Zii Jia kerap melakukan kesilapan mudah hingga memberi ruang dan peluang kepada Kunlavut mengutip mata.
Zii Jia akan bertemu wakil India Lakshya Sen selepas pemain itu tewas kepada pemain perseorangan Denmark Victor Axelsen 20-22,14-21.
Axelsen yang berada di ranking kedua dunia berpeluang mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Tokyo apabila bertemu Kunlavut di pentas final.
© New Straits Times Press (M) Bhd




