ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak pulang tangan kosong dan mengubat kekecewaan gagal mara ke final selepas menewaskan wakil India, Lakshya Sen pada aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena, sebentar tadi.
Selepas mempamerkan persembahan longlai dan serba tidak menjadi, Zii Jia yang menduduki ranking ketujuh dunia bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum meraih kemenangan 13-21, 21-16, 21-11 untuk menghadiahkan pingat kedua buat kontinjen negara di Paris 2024.
Ia menyaksikan Zii Jia memperbaiki pencapaian Tokyo 2020 di mana dia berjaya mara sehingga ke pusingan kedua sebelum tewas di tangan pemenang pingat perak dari China, Chen Long 21-8, 19-21, 5-21.
Pada aksi sebentar tadi, pemain kelahiran Kedah itu membuka set pertama dengan aksi kurang memberangsangkan sehingga membenarkan Lakshya menguasai permainan dengan mudah.
Bagaimanapun, pada set kedua dia berjaya bangkit dan memberikan persembahan yang berbeza untuk mengheret aksi ke saingan penentuan.
Set ketiga menyaksikan Zii Jia beraksi dengan garang apabila pada satu ketika mendahului 9-2 dan Lakshya pula seakan bergelut dengan kecederaan tangan, sekali gus membolehkan juara Seluruh England 2021 itu membawa pulang gangsa.
Terdahulu, pingat pertama disumbangkan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 pada perebutan pingat gangsa, semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




