surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kes saman antara penulis skrip drama ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’, Rehal Nuharis dengan pelakon Amelia Henderson gagal diselesaikan secara baik melalui proses mediasi hari ini.
Saman itu akan diteruskan dengan perbicaraan yang akan bermula 6 dan 7 Februari 2025 di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Faiz Dziyauddin.
Peguam Nor Zabetha Muhamad Nor mewakili Rehal atau nama sebenarnya Haironizan Mohd Idris, 37, selaku plaintif berkata, kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat antaranya membabitkan syarat penyelesaian dalam proses mediasi dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Mazilah Manap di Pusat Mediasi Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
“Setakat ini, pihak kami akan memanggil dua saksi, namun kemungkinan ada tambahan saksi dalam prosiding perbicaraan kes itu nanti,” katanya kepada media hari ini.
Mediasi adalah alternatif penyelesaian kes tanpa melalui proses perbicaraan penuh.
Sementara itu, peguam Mansheel Kaur yang mewakili Amelia, 29, atau nama penuhnya Amelia Thripura Henderson berkata, proses penyelesaian itu gagal kerana tiada persefahaman antara kedua-dua pihak.
“Pihak kami bersedia untuk perbicaraan dan siapa saksi yang akan memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman ini masih dalam perbincangan,” katanya.
Sementara itu, Amelia ketika ditanya faktor mediasi hari ini gagal, pelakon itu berkata, antara alasannya adalah kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat, tiada persefahaman termasuk syarat penyelesaian.
“Mediasi gagal, jadi kita akan teruskan dengan trial (perbicaraan),” katanya.
Dalam saman difailkan pada 20 September 2023, Haironizan yang juga penulis novel menggunakan nama pena Rehal Nuharis mendakwa Amelia menarik diri daripada membintangi drama ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’ dengan A Aida Production Sdn Bhd pada 25 Januari 2022 tanpa sebarang alasan yang munasabah.
Dakwanya, Amelia kemudian memuat naik satu siaran video secara langsung melalui akaun Instagram miliknya pada 25 Jun 2022 dengan memberi kenyataan yang menjatuhkan reputasi serta memprejudiskan nama baik plaintif berhubung drama itu.
Plaintif mendakwa video itu memberi gambaran negatif mengenai penulisan skrip plaintif dalam drama yang menyokong keganasan rumah tangga serta misoginis selain komen pihak ketiga terhadap kenyataan yang dibuat defendan itu mendatangkan kecaman, kebencian serta kemarahan terhadap plaintif.
Sehubungan itu, plaintif antaranya memohon satu injuksi tetap untuk menghalang defendan, sama ada melalui dirinya sendiri atau wakilnya menyebarkan atau menerbitkan kenyataan fitnah itu secara lisan, media cetak atau internet selain menuntut ganti rugi am, khas dan teruk daripada defendan.
Pada tahun lalu, Amelia yang pernah disaman syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd membayar ganti rugi nominal RM10,000 terhadap syarikat produksi itu seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi.
Bayaran RM10,000 itu selepas Amelia berjaya dalam rayuannya berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang sebelum itu memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




