TFC perlu cari segera peledak baharu lebih berbisa

TFC perlu cari segera peledak baharu lebih berbisa

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Peminat Terengganu FC (TFC) menggesa pihak pengurusan kelab dapat ‘merekrut’ penyerang baharu dengan seberapa segera bagi memperkasakan lagi pasukan pada musim ini.

Presiden Kelab Penyokong Bolasepak TFC, Mohd Isa Che Ariffin berkata, langkah itu bagi memastikan pemain yang baharu dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama rakan sepasukan.

Jelasnya, pihak pengurusan tidak boleh mengharapkan kelibat penyerang, Ivan Mamut yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dialaminya biarpun Liga Malaysia (Liga M) sudah membuka tirai pada Mei lalu.

“Kami peminat setia meletakkan harapan tinggi agar pihak pengurusan TFC dapat menyenaraikan penyerang baharu yang benar-benar berkualiti bagi memperkasakan lagi pasukan.

“Pada masa saya ianya bagi mengelak pelaburan yang merugikan buat pasukan lebih-lebih lagi peminat setia TFC sentiasa memberikan sokongan padu buat pasukan sebagaimana aksi separuh akhir pertama Piala FA tempoh hari.

“Pada masa sama kami juga difahamkan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner sudah mempunyai calon sesuai untuk menggantikan tempat Mamut yang kini berada di negaranya.

“Kami harap ianya menjadi kenyataan lebih-lebih lagi TFC bakal bersaing dalam saingan Piala Shoppe yang dijadualkan bermula pada 21 Ogos ini berdepan kelab dari Kemboja, Preah Khan Reach Svay Rien FC,” ujar Mohd Isa yang mengharapkan penyerang kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade perlu dikekalkan.

Pintu jendela kedua perpindahan pemain bakal dibuka bermula 26 Ogos ini sehingga 22 September ini.

Kelmarin Mohd Isa turut mengharapkan pihak pengurusan dapat menggantikan pertahanan import, Mathew Steenvoorden dengan pemain lain yang lebih berkualiti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top