Anak buah Henry bersemangat tamatkan kemarau emas

Anak buah Henry bersemangat tamatkan kemarau emas

Paris: Skuad Perancis bimbingan Thierry Henry mengharapkan sokongan padu peminat tuan rumah di Parc des Princes membantu mereka memenangi pingat emas bola sepak lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila menentang Sepanyol di final, esok.

Henry yang juga legenda bola sepak Perancis memastikan negaranya berpeluang meraih pingat emas bola sepak Olimpik kali kedua, selepas kali terakhir memenanginya di Los Angeles, 40 tahun lalu.

Kemenangan ke atas Brazil empat dekad lalu itu hadir selepas skuad kebangsaan Perancis memenangi gelaran utama sulung dengan menewaskan Sepanyol di final Euro 1984.

Seolah-olah skrip ulangan, dua negara itu akan bertarung lagi di Parc des Princes, esok, dengan sokongan padu tuan rumah diharapkan membantu Perancis muncul juara.

Mereka sudah memenuhi sasaran memenangi pingat dan Henry berjaya menggabungkan pemain dengan sebaik mungkin selepas berdepan keengganan kelab melepaskan pemain terbaik mereka bagi menghadapi Paris 2024.

Kelab tiada halangan untuk membenarkan pemain mereka beraksi apabila bola sepak lelaki dikhaskan kepada pemain berusia bawah 23 tahun dan tiga pemain lebih usia.

Kylian Mbappe yang juga kapten skuad senior dikatakan mahu beraksi di Paris 2024, tetapi tidak mendapat pelepasan kelab barunya, Real Madrid.

Harapan untuk menggunakan khidmat Antoine Griezmann turut tidak kesampaian.

Pemain tengah baharu Juventus, Khephren Thuram pada mulanya berada dalam skuad, tetapi tidak dibenarkan menyertai pasukan pada saat akhir oleh majikannya.

Tetapi, Les Bleus berjaya mendapatkan khidmat penyerang berpengalaman, Alexandre Lacazette dan seorang lagi penyerang, Jean-Philippe Mateta selain pemain sayap lincah, Michael Olise.

Mereka menang semua perlawanan peringkat kumpulan tanpa bolos dan menyingkirkan Argentina 1-0 di suku akhir, sebelum menunjukkan karakter dengan bangkit menewaskan Mesir 3-1 pada masa tambahan di peringkat separuh akhir.

“Kami sudah bercakap mengenai temasya ini sejak lebih setahun setengah dan akhirnya kami mara ke Paris,” kata Mateta, penyerang Crystal Palace yang menjaringkan dua gol ketika menewaskan Mesir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top