Bursa Malaysia ditutup tinggi

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri urus niaga hari pertama pada suku kedua tahun ini dengan amat memberangsangkan apabila indeks utama meningkat 0.58 peratus, disokong oleh kaunter Top Glove dan TNB.

Pada jam 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 9.13 mata kepada 1,582.64 daripada 1,573.51 ketika ditutup pada petang urus niaga Rabu.

Pagi ini, indeks dibuka 6.46 mata lebih tinggi pada 1,579.97 dan bergerak antara 1,576.33 dan 1,586.26 sepanjang hari.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 770 berbalas 365 manakala 406 kaunter tidak berubah, 583 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 7.91 bilion saham bernilai RM3.70 bilion berbanding 8.36 bilion saham bernilai RM4.22 bilion hari sebelumnya.

Top Glove mengukuh 12 sen kepada RM4.64 dan TNB melonjak 14 sen kepada RM10.26, dan kedua-duanya menyumbang 3.34 mata kepada kenaikan indeks utama.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi yang lain, Public Bank dan CIMB masing-masing naik dua sen kepada RM4.22 dan RM4.36 sementara Petronas Chemicals meningkat tiga sen kepada RM8.03, Press Metal Aluminium menambah 16 sen kepada RM10.06, Maybank tidak berubah pada RM8 .25 dan IHH Healthcare turun dua sen kepada RM5.30.

Bagi kaunter aktif, JKG naik dua sen kepada 12.5 sen, Yong Tai meningkat 2.5 sen kepada 29 sen, Dagang Nexchange 1.5 sen lebih tinggi pada 92.5 sen, MCT menokok 3.5 sen kepada 33 sen dan Berjaya Corp turun dua sen kepada 43.5 sen.

Di papan indeks, FBM 70 mengembang 186.37 mata kepada 15,659.94, Indeks FBM Emas meningkat 92.86 mata kepada 11,707.42, FBMT 100 naik 84 mata kepada 11,365.77, FBM Emas Syariah lebih tinggi sebanyak 117.14 mata kepada 12,965.31 dan FBM ACE merosot 72.37 mata kepada 9,993.43.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 31.55 mata kepada 15,252.54, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.91 mata kepada 193.05 dan Indeks Perladangan 22.25 mata lebih tinggi kepada 7,033.76.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 5.77 bilion saham bernilai RM3.14 bilion daripada 5.87 bilion saham bernilai RM3.69 bilion pada hari Rabu.

Perolehan waran pula menyusut kepada 288.65 juta unit daripada RM50.58 juta berbanding 311.28 juta unit bernilai RM47.46 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 1.85 bilion saham bernilai RM508.10 juta daripada 2.17 bilion saham bernilai RM486.92 juta pada hari Rabu.

Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 883.17 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (1.32 bilion), pembinaan (452.24 juta), teknologi (571.82 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (62.01 juta), hartanah (1.91 bilion), perladangan (20.06 juta), REIT (5.91 juta), dana tertutup (58,200), tenaga (338.61 juta), penjagaan kesihatan (54.40 juta), telekomunikasi dan media (42.36 juta), pengangkutan dan logistik (81.80 juta) dan utiliti (26.41 juta).

-BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top