Paris: Paris: Bintang muda China, Luo Shifang, memenangi gelaran angkat berat 59 kilogram (kg) wanita di Sukan Olimpik Paris dengan jumlah keseluruhan 241kg untuk memperbaharui rekod Olimpik snatch dan clean & jerk.
Dalam pertarungan klasik antara atlet muda dan pengalaman, Shifang yang berusia 23 tahun muncul sebagai pemenang menewaskan wakil Kanada, Maude Charron dan juara bertahan dari Taiwan, Kuo Hsing Chun.
“Saya menantikan 10 tahun akan datang, dan saya berharap untuk menjadi lebih baik dalam 10 tahun akan datang,” kata Shifang kepada pemberita selepas menerima pingat emasnya.
Charron, yang berusia 31 tahun dan memenangi gelaran 64kg di Tokyo tiga tahun lalu tetapi terpaksa turun kelas selepas acara sebelum ini dikeluarkan dari program Olimpik, memperoleh pingat perak dengan jumlah keseluruhan 236kg.
Hsing Chun, yang berusia 30 tahun, hampir meraih tempat kedua dan terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dengan jumlah keseluruhan 235kg.
“Apabila kami mula, jurulatih saya berkata… ini mungkin pertandingan terakhir saya dan hanya lakukan yang terbaik. Tetapi apabila giliran saya, saya terkejut melihat ramai orang di sini,” kata Hsing Chun.
“Ia memberi saya keberanian dan ini benar-benar menyentuh hati saya. Mereka membawa saya kembali ke masa lalu dan saya akan mengingatinya selama-lamanya. Saya menghargai semua orang yang datang hari ini untuk menyokong saya,” tambahnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




