Mahasiswa perlu lengkapkan diri dengan pelbagai ilmu, kemahiran tambahan

Mahasiswa perlu lengkapkan diri dengan pelbagai ilmu, kemahiran tambahan

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Mahasiswa perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran tambahan, bukan hanya mahir dalam bidang pengajian diceburi bagi mendepani cabaran Revolusi Perindustrian ke-4 (IR 4.0).

Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata, ilmu dan kemahiran tambahan penting di samping kemahiran insaniah, komunikasi, pengurusan bagi memastikan graduan kekal relevan dan mampu bersaing dalam pasaran kerja.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri (JPI) menyarankan graduan mampu mencipta pekerjaan sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat.

“Saya melihat, peluang ini terbuka luas dalam sistem pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) yang mana semua elemen ini diterapkan secara serius kepada pelajarnya.

“Aktiviti keusahawanan juga salah satu elemen yang diberi penekanan oleh sistem pendidikan POLYCC. Buktinya, ramai usahawan dilahirkan malah ramai dalam kalangan alumninya bergelar jutawan.

“Saya difahamkan penerima Anugerah Jubli Perak pada sidang pertama pagi tadi, Ketua Pegawai Eksekutif Bliese Malaysia Sendirian Berhad, Mohd Suhaimi Saiful, adalah alumni Diploma Pemasaran juga bergelar jutawan pada usia yang masih muda,” katanya.

Beliau berucap selaku tetamu kehormat pada Sidang 2 Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) Kali Ke -25 di Dewan Al-Jazari, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah PSA, Zainah Rujihan serta barisan pengurusan dan pensyarah.

Syed Hussian turut berbesar hati dengan kejayaan salah seorang graduan Diploma Pengajian Perniagaan PSA yang juga eksekutif di Kumpulan Media Prima Berhad iaitu Ahmad Aqil Nuruddin Ahmad Nazri.

“Saya dimaklumkan, selain cemerlang dalam akademik, Ahmad Aqil juga aktif sepanjang bergelar mahasiswa PSA dan juga EXCO Majlis Perwakilan Pelajar.

“Melalui pengalaman seperti inilah yang menjadi nilai tambah dan batu loncatan untuk graduan bersaing dalam dunia sebenar pekerjaan. Sebagai makluman, beliau juga adalah Pegawai Khas saya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau difahamkan, PSA diiktiraf sebagai Pusat Bertauliah yang menjalankan program bertauliah dalam bidang dan tahap kemahiran tertentu berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

“Pusat ini bertujuan meningkatkan kompetensi pensyarah serta memberi nilai tambah kepada graduan sekali gus melayakkan mereka memperoleh upah dan gaji yang lebih tinggi.

“Saya menyeru graduan mengambil peluang menyertai program-program di bawah Pusat Bertauliah ini memandangkan ia adalah pratform yang sangat baik dalam meningkatkan kemahiran dan kepakaran graduan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan supaya budaya, jati diri dan identiti rakyat Malaysia tidak terhakis apatah lagi digadaikan dalam keghairahan kita mengejar arus pemodenan dan kemajuan teknologi.

“Janganlah kita terikut-ikut dengan aliran semasa demi mengejar sebuah ‘content’. Hindari perilaku tidak beretika sebaliknya bersikaplah penuh toleransi dan hormat menghormati walaupun di alam siber.

“Harus diingat, kemajuan teknologi juga membuka ruang kepada kegiatan jenayah dan menjadi semakin sukar untuk dibenteras. Sebagai contoh, kecanggihan teknologi AI membuka peluang kepada penjenayah siber melakukan klon suara dan wajah bagi memperdaya mangsa,” katanya.

Beliau turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan tahniah kepada seramai 833 graduan akan menerima ijazah sarjana muda, diploma dan sijil penganugerahan masing-masing pada majlis konvokesyen kali ini.

“Tahniah kerana berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang serta cekal dalam mengharungi tekanan dan cabaran yang ditempuh sepanjang pengajian.

“Tahniah kepada ibu bapa dan ahli keluarga, juga penghargaan dan terima kasih kepada pensyarah yang tidak pernah mengenal erti penat dan jemu dalam mencurahkan ilmu.

“Syabas kepada PSA terutamanya graduan atas pencapaian memperoleh kadar kebolehpasaran graduan 96.1 peratus dengan graduan ijazah memperoleh 100 peratus bagi tahun 2023,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top