Paris: Pasukan Gimnastik Amerika Syarikat (AS) mengemukakan bukti video kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di atas apa yang didakwa oleh mereka sebagai bukti Jordan Chiles seharusnya kekal meraih gangsa yang dimenanginya dalam acara senaman lantai di Sukan Olimpik Paris 2024.
Bukti tambahan ini dikemukakan oleh skuad gimnastik AS sehari selepas CAS memutuskan untuk menyokong rayuan Ana Barbosu dari Romania, yang akan naik ke tempat ketiga dalam acara itu.
Ana dan pasukannya merayu kepada CAS untuk melakukan siasatan di atas dakwaan jurulatih Jordan, Cecile Landi memfailkan keputusan rayuan dalam acara itu satu minit selepas tamat tempoh rayuan dan atlet AS itu tidak seharusnya diberikan markah 13.766 yang membawanya ke tempat ketiga.
Namun, Gimnastik AS mengatakan mereka memberikan rakaman video kepada CAS yang mana ia tidak diberikan kepada badan pengurus sebelum keputusan tribunal mengumumkan Ana menduduki tempat ketiga.
“Video yang memaparkan masa itu menunjukkan Landi mula-mula mengemukakan permintaannya untuk membuat siasatan di meja rayuan 47 saat (s) selepas markah itu disiarkan, diikuti dengan kenyataan kedua 55s selepas markah asal dipaparkan,” kata Gimnastik AS dalam satu kenyataan.
Jordan pada awalnya diberikan markah 13.666, manakala Ana memperoleh markah 13.700.
Keputusan oleh CAS bagaimanapun tidak mempengaruhi pemenang, Rebeca Andrade dari Brazil, atau pemenang pingat perak, Simone Biles dari AS yang memperoleh markah 14.166 dan 14.133.
© New Straits Times Press (M) Bhd




