Wanita derita 4 penyakit bergelut kesempitan hidup

Wanita derita 4 penyakit bergelut kesempitan hidup

am@hmetro.com.my

Kuala Krai: Seorang wanita yang menderita empat penyakit reda dengan nasib menimpa dirinya dan kini bergantung harap sepenuhnya kepada anak sulungnya yang berusia 19 tahun.

Asmawati Samsuddin, 39, yang menghidap penyakit kanser tulang, kanser otak, ketumbuhan di kepala dan saraf sejak tujuh lalu hilang upaya untuk berjalan selain kedua-dua matanya juga tidak lagi dapat melihat.

Katanya, segala urusan hariannya termasuk mandi, makan dan minum diuruskan oleh empat anaknya yang berusia di antara 12 hingga 19 tahun secara bergilir-gilir.

Menurutnya, kekangan kewangan dan kesempitan hidup menyebabkan anak sulung saya, Muhammad Ameer Aiman Zalani, 19, mengambil keputusan untuk berhenti sekolah ketika berada di Tingkatan Empat kerana mahu memastikan adik-adiknya yang lain dapat meneruskan persekolahan dan mencapai cita-cita sehingga berjaya ke menara gading.

“Sejak itu jugalah Muhammad Ameer menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk menyara saya serta tiga adiknya yang masih bersekolah dengan mengambil upah memotong rumput di Kem Desa Kok Lanas,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tengah.

Terdahulu Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed menyantuni keluarga berkenaan dan turut menyampaikan barang keperluan asas bagi meringankan beban yang ditanggung.

Asmawati berkata, sudah menjadi rutin harian anak sulungnya sebelum keluar bekerja untuk menguruskan segala keperluannya serta menghantarnya ke rumah ibunya yang terletak di Sungai Durian memandangkan dia berada bersendirian di rumah.

“Saya bersyukur kerana dikurniakan anak-anak yang ringan tulang dan mereka jugalah yang menjadi sumber kekuatan saya untuk meneruskan kehidupan di hari yang mendatang,” katanya.

Katanya, memandangkan hanya anak sulung yang bekerja dengan pendapatan yang tidak menentu menyebabkan mereka perlu bijak berbelanja dan ada ketikanya terpaksa makan nasi kosong bersama budu mahupun kicap bagi mengalas perut, malah ada juga jiran tetangga yang bersimpati menghulurkan sumbangan dalam bentuk barangan.

“Kami tidak kisah makan ala kadar sahaja asalkan tidak berhutang atau menyusahkan sesiapa.

“Wang daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan hanya cukup untuk membeli lampin pakai buang saya selain wang saku bagi perbelanjaan persekolahan anak-anak.

“Lebih menyedihkan lagi, ada kalanya anak-anak saya tidak membawa wang saku ke sekolah, namun mereka tidak pernah merungut kerana mengerti kesusahan keluarga,” katanya.

Katanya, dia berharap orang ramai dapat mendoakan kesembuhan untuk dirinya dan kuat menjalani kehidupan harian.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0300541000088062 atas nama Asmawati Shamsudin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top