Valdumar import kedua dilepaskan KDN FC

Valdumar import kedua dilepaskan KDN FC

sukan@hmetro.com.my

Kota Bharu: Import Guinea Bissau, Valdumar Te menjadi import kedua dilepaskan pasukan Kelantan Darul Naim FC.

Penyerang berusia 26 tahun itu akan meninggalkan kelab dan berpindah ke luar negara menyertai Liga Libya.

Pengurusan pasukan dalam kenyataan di laman sosial rasmi Facebook mereka memaklumkan kontrak pemain itu bersama pasukan sudah berakhir dan tidak akan disambung.

Valdumar dimasukkan ke dalam pasukan pada awal musim Liga Malaysia dan sudah beraksi dalam sembilan perlawanan termasuk pusingan 16 Piala FA menentang pasukan JDT FC.

Dia bagaimanapun sukar menyesuaikan diri dengan pasukan kendalian Park Jae Hong dan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak bagi baki saingan Liga Super 2024/25.

Pihak pengurusan mengucapkan terima kasih atas sumbangan pemain berkenaan yang sentiasa menunjukkan komitmen tinggi selain sentiasa bersikap profesional sepanjang dibawa masuk sejak April lalu.

Kelab turut merakamkan ucapan terima kasih dan selamat maju jaya buat beliau atas sumbangan terutamanya ketika sesi latihan dan perlawanan rasmi membabitkan skuad kijang emas.

Terdahulu, KDN FC mengumumkan bekas pemain kelab Maghribi, Chadrack Lukombe Muzungu menjadi import pertama melangkah keluar daripada pasukan.

Pasukan turut memaklumkan mahu membuat rombakan besar-besaran selepas hanya mencatat satu kemenangan sepanjang saingan Liga Super musim ini dengan berada di kedudukan kedua tercorot.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top