am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Anggota polis pengiring yang didakwa memukul seorang pemandu e-hailing kurang upaya (OKU) di lobi sebuah hotel di ibu negara, di sini 28 Mei lalu sudah dikenakan tindakan tatatertib.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan sudah diambil ke atas anggota terbabit oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman selepas siasatan dijalankan.
“Siasatan sudah dibuat pada Jun lalu dan tindakan tatatertib telah diambil oleh JIPS Bukit Aman,” katanya hari ini.
Mengulas mengenai perkembangan terbaharu, beliau memaklumkan kertas siasatan sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 5 Jun namun dikembalikan semula.
Bagaimanapun katanya kertas siasatan terbabit sudah diserahkan kepada AGC pada 22 Jun untuk arahan lanjut.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan pemandu kenderaan e-hailing yang mendakwa dipukul seorang pengawal keselamatan rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel ibu negara pada Selasa telah menarik balik laporannya pada hari yang sama.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, individu berkenaan, yang juga OKU membuat laporan polis kedua untuk menarik balik laporan polis pertama.
Sebelum itu, pemandu OKU e-hailing yang mendakwa diserang anggota pengiring orang kenamaan mendedahkan rakaman kamera kejadian pada Mei lalu.
Peguamnya, N. Surendran dilaporkan berkata, tiada sebarang tindakan lanjut walaupun kira-kira dua bulan kertas siasatan tersebut didakwa telah diserahkan kepada AGC.
© New Straits Times Press (M) Bhd




