Kelab derma denda Ibrahimovic, Lukaku

Kelab derma denda Ibrahimovic, Lukaku

MILAN: Denda ke atas Zlatan Ibrahimovic dan Romelu Lukaku yang didapati bersalah kerana bertengkar ketika aksi Piala Itali akan didermakan kepada badan kebajikan, kata kedua-dua kelab Milan itu.

Penyerang AC Milan Ibrahimovic bertembung dengan Inter Milan ketika suku akhir di San Siro pada 26 Januari lalu.

Bekas pemain-pemain Manchester United itu bertengkar dan kedua-duanya didenda kerana tidak menunjukkan semangat kesukanan.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua kelab Milan itu berkata insiden berkenaan tidak selaras dengan prinsip fair play, dan berjanji jumlah denda berkenaan akan diserahkan kepada badan kebajikan.

Ketegangan bermula ketika tamat babak pertama aksi di San Siro berkenaan.

Ibrahimovic mengejek Lukaku dan membuatkan pemain Belgium itu berang sebelum mereka bertegang urat.

Mereka saling mengeluarkan kata-kata kesat ketika menuju ke terowong sehingga Lukaku terpaksa ditenangkan rakan sepasukan.

Kedua-dua pemain dilayangkan kad kuning kerana insiden berkenaan dan Ibrahimovic dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua selepas itu.

Kedua-dua pemain menjaringkan gol dalam perlawanan yang dimenangi Inter 2-1. – Foto AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top