bhnews@bh.com.my
PASIR PUTEH: Keghairahan pengunjung bermandi-manda di Pantai Tok Bali, dekat sini, boleh mengundang bahaya apabila Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengesan kehadiran lebih 15 obor-obor berbisa di situ.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pasir Puteh, Kapten Pertahanan Awam (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat, berkata obor-obor jenis Moon Jellyfish spesis Aurelia Aurita itu dikatakan memenuhi kawasan pantai itu yang menjadi habitatnya.
Beliau berkata, apa yang membimbangkan kehadiran obor-obor itu ialah mengundang bahaya kepada pengunjung yang mandi di pantai berkenaan.
Katanya, APM mengambil tindakan mencegah aktiviti air di pantai berkenaan, sekali gus mengelak kejadian tidak diingini.
“Sengat obor-obor ini boleh menjejaskan individu yang mempunyai alahan (alergik). Kita nasihatkan orang ramai jika terkena sengat obor-obor gosok dengan pasir pantai bersih dengan air yang mengalir,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Nik Mohd Nor berkata, pihaknya turut menempatkan penyelamat pantai APM di kawasan pantai berkenaan.
Justeru, beliau turut menasihatkan orang awam terutamanya ibu bapa bagi memantau pergerakan anak-anak dan maklum akan kewujudan haiwan itu.
“Sebelum ini beberapa kes pengunjung disengat obor-obor dilaporkan di sini, jadi untuk keselamatan bersama elakkan melakukan aktiviti air dan mandi di sini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




