am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Telur goreng berbau dipercayai menjadi punca kes keracunan membabitkan 32 pelajar dari sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Nerus, Khamis lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, siasatan awal mendapati pelajar yang berusia antara 13 hingga 17 tahun itu mengalami gejala keracunan selepas makan malam di kantin sekolah itu pada Rabu lalu.
Beliau berkata, gejala utama dihadapi pelajar sehari selepas makan telur goreng berbau adalah mengalami loya, muntah, sakit perut, cirit-birit dan demam.
Bagaimanapun, katanya, Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) masih melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.
“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Nerus sudah melakukan tindakan kawalan dan pencegahan bagi mengawal kejadian keracunan membabitkan pelajar sekolah berkenaan.
“Kita menerima laporan kejadian keracunan makan membabitkan pelajar di SBP itu pada Khamis lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri (JPNT), Jelani Sulong mengesahkan menerima laporan kes keracunan makanan membabitkan pelajar di sekolah berkenaan.
Mengulas lanjut, Dr Kasemani berkata, siasatan mendapati seramai 32 daripada 629 pelajar atau 5.1 peratus mengalami gejala keracunan selepas makan malam di kantin sekolah itu.
Katanya, seramai 23 pelajar yang mengalami keracunan makanan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di hospital dan klinik kesihatan manakala dua lagi kes dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.
“Dua pelajar itu sudah dibenarkan pulang manakala bakinya hanya mengalami gejala ringan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




