sukan@hmetro.com.my
Kuching: Atlet Selangor, Andrew Goh menjadi atlet pertama memecahkan rekod kebangsaan di Sukan Malaysia (SUKMA) pada acara di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di Petra Jaya, hari ini.
Dia melakukan catatan 1:01.39 (saat) dalam acara 100 meter (m) kuak dada lelaki untuk memecahkan rekodnya sendiri pada Terbuka Malaysia di mana dia mencatat 1:02.30s.
Atlet Wilayah Persekutuan (WP), Cham Yu Xiang meraih perak dengan catatan 1:04.55s sementara gangsa menjadi milik atlet Sabah, Emmanuel Loh (1:04.98s).
“Saya sudah mula berfikir dan merancang strategi saya sebelum SUKMA bermula. Saya mahu lihat apa yang boleh saya lakukan dan apa yang perlu saya lakukan.
“Saya tahu semuanya berjalan dengan baik apabila saya mula menjejakkan kaki di kolam renang ini dan saya gembira dengan keputusan ini.
“Tetapi saya percaya saya boleh menjadi lebih pantas bermula dari sini,” kata atlet berusia 20 tahun itu.
Andrew turut mendedikasikan pingat emas itu kepada jurulatihnya, Eric Anderson yang juga jurulatih skuad kebangsaan dan Selangor.
“Selangor sentiasa memberi sokongan kepada saya dan saya tahu saya boleh berharap kepada mereka.”
Sementara itu, atlet WP, Dhuha Zulfikry memecahkan rekod SUKMA dalam acara 200m gaya bebas lelaki yang dilakar Daniel Bego apabila mencatat 1:50.03s.
Daniel melakukan catatan 1:51.05s pada SUKMA 2008.
Atlet Selangor, Jayden Goh meraih perak (1:52.55s) manakala rakan sepasukannya, Henry Goh memenangi gangsa dengan catatan 1:52.23s.
Atlet berusia 16 tahun itu bangga apabila dapat memecahkan rekod itu di negara kelahiran kedua ibu bapanya.
“Saya ada saudara-mara dari Kuching yang datang menyaksikan pertandingan saya hari ini. Ayah saya berasal dari sini dan ibu saya berasal dari Sibu.
“Saya bangga untuk menunjukkan persembahan yang terbaik di Sarawak walaupun saya mewakili negeri yang berbeza.
“Saya tidak jangka dapat memecahkan rekod kebangsaan kerana saya adalah perenang jarak jauh dan acara 200m bukanlah acara terbaik saya,” kata Dhuha.
Satu lagi rekod SUKMA yang turut dipecahkan adalah dalam acara 50m kuak lentang yang dimenangi atlet WP, Chong Xin Lin menerusi catatan 29.74s.
Seorang lagi perenang WP, Jayden Tan memecahkan rekod SUKA dalam acara 400m rampaian individu menerusi catatan 4:43.97s untuk memecahkan rekod Tia’a Faang Der (4:26.94s).
Jayden juga turut memegang rekod kebangsaan dengan catatan 4:23.24s.
© New Straits Times Press (M) Bhd




