Dulu dibuli, kini Moganarrajan digeruni

Dulu dibuli, kini Moganarrajan digeruni

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuching: P Moganarrajan pernah menjadi mangsa buli dengan dilontar batu dan diejek selain dianggap budak lemah hingga meninggalkan trauma ketika zaman persekolahan.

Situasi terbabit mendorong atlet Johor itu mengambil keputusan menyertai sukan taekwondo ketika berusia 12 tahun dengan tujuan untuk mempertahankan diri.

Ternyata keputusan terbabit berbaloi memandangkan kini Moganarrajan antara individu digeruni terutamanya selepas dia memenangi pingat emas taekwondo bagi kategori bawah 54 kilogram (lelaki) di pentas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024, semalam.

Pada aksi final berlangsung di Stadium Perpaduan menyaksikan Moganarrajan cukup sukar ditumbangkan wakil dari Negeri Sembilan Ahmad Muhaimin Al Hafiiz di pentas final sekali gus dia membawa pulang emas manakala lawannya itu terpaksa berpuas hati dengan perak.

Gangsa pula milik atlet Brunei Muhammad Abrar Haji Bakar dan peserta Perlis Emmanuel Choy-Wan Tan.

Menceritakan kembali detik mula Moganarrajan menceburi taekwondo, atlet berusia 20 tahun itu memaklumkan mendiang ayahnya L Perumal mendaftar menyertai sukan terbabit selepas melihat dia sering menjadi mangsa buli di sekolah.

“Sejak kecil lagi selalu menjadi mangsa buli menyebabkan ayah masukkan saya dalam taekwondo ketika darjah enam. Sekarang ini, saya lebih berkeyakinan dan tidak takut lagi atau menjadi mangsa buli… jika dahulu, ada yang baling batu dan ejek saya ketika di sekolah.

“Nasihat saya kepada pembuli supaya menghentikan tindakan itu kerana anda ‘mencipta’ seseorang yang akan menjadi lebih hebat kelak,” katanya yang akan menyertai kem skuad kebangsaan dalam tempoh terdekat ini.

Moganarrajan berkata, walaupun dia akhirnya memenangi emas pada penyertaan pertama di pentas Sukma namun jauh di sudut hati timbul rasa sedih kerana ayahnya tidak berkesempatan melihat kejayaan itu.

“Ayah meninggal dunia bulan Februari lalu. Mendiang pernah meminta untuk hadiahkan dia pingat emas. Saya sudah usahakan sekarang namun mendiang tiada untuk melihat kejayaan itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top