Kuala Lumpur: Lebih 2,000 peminat termasuk dari Jepun, Thailand dan Indonesia memenuhi ruang di Zepp Kuala Lumpur, di sini, menyaksikan Konsert AKB48 Group Live in KL 2024 – First Cry, baru-baru ini.
Konsert membabitkan lima kumpulan iaitu AKB48 dari Jepun, STU48 (Jepun), Quadlips, JKT48 (Indonesia) dan KLP48 (Kuala Lumpur) juga pertama kali diadakan di Malaysia.
Dalam konsert berdurasi lebih tiga jam itu, peminat bukan saja dihiburkan dengan persembahan mantap, malah teruja dengan nyalaan cahaya ‘glow stick’ diiringi visual yang menarik.
Mereka mempersembahkan lagu-lagu popular seperti Catch Me Kiss Me dan Overdrive oleh Quadlips, Ai no Omosa dan Kurayami oleh STU48.
JKT48 pula mempersembahkan lagu Rapsodi dan Fortune Cookie dan Yang Mencinta, manakala AKB48 membawa lagu Everyday, Kachuusha dan Koi Tsun Jatta.
Turut mendapat perhatian pada hari itu tentunya wakil Malaysia iaitu KLP48 yang mempersembahkan video muzik dan lagu pertama mereka, Heavy Rotation.
Mereka turut membawakan lagu dalam bahasa Inggeris, Jepun dan Mandarin iaitu Aitakatta, Shonichi, High Tension dan Namida Surprise.
KLP48 yang dianggotai Amanda, Ann Drea, Cocoa, Devi, Haruka, Hillary, Khalies, Lucine, Salwa, Suzuha, Tiffany, Yi Shyan dan Yurina itu baru saja mengumumkan ahli generasi pertama mereka.
Semuanya berjaya memanfaatkan konsert ini untuk membuat kemunculan pertama yang penuh gaya.
Dalam konsert anjuran 48 Entertainment dengan sokongan iMe Malaysia itu, KLP48 turut mengumumkan Yi Shyan sebagai ketua kumpulan mereka serta melancarkan Kelab Peminat Rasmi KLP48 dengan langganan bulanan RM30 yang memberikan akses kepada kandungan eksklusif.
Di penghujung konsert, lima kumpulan terbabit bersama-sama menyanyikan lagu ikonik AKB48 iaitu Aitakatta dan mengadakan sesi ramah mesra bersama peminat selepas konsert.
© New Straits Times Press (M) Bhd




