Muhamaad Razis Ismail
razis@mediaprima.com.my
UNIK dan menarik. Demikian gambaran pertama yang penulis boleh berikan apabila berpeluang melihat dengan lebih dekat Axolotl yang dipelihara dalam akuarium.
Dengan memiliki kaki dan tangan, haiwan dalam kategori amfibia ini dilihat lebih banyak berada di dasar akuarium dan bertenggek atas batu.
Sesekali, Axolotl berwarna merah jambu, hitam dan kuning dilihat berenang naik ke permukaan air untuk bernafas sebelum kembali berada di dasar.
Lebih menarik perhatian adalah insang Axolotl yang dilihat seolah-olah rambut yang sedang mengerbang ketika ia bernafas dalam air.
Disebabkan bentuk badan Axolotl yang unik dan mempunyai kaki serta tangan, ramai yang beranggapan haiwan ini adalah berudu, salamander dan ‘cicak air.’
Pembiak Axolotl, Daniel Choi berkata, masih ramai yang tidak mempunyai pengetahuan berkenaan haiwan itu.
Katanya, dengan menggunakan media sosial dia aktif berkongsi ilmu berkenaan Axolotl untuk memberi kesedaran mengenainya.
“Saya bermula dengan ikan betta sebelum mula memelihara Axolotl sejak dua tahun lalu kerana tertarik dengan keunikan fizikal dan karakter haiwan ini.
“Bermula sekadar hobi, kemudian saya mencabar diri lebih serius dengan membiak dan menjual Axolotl kepada peminat haiwan eksotik,” katanya.
Daniel berkata, kini dia memiliki beberapa spesies haiwan itu termasuk Leucistic (merah jambu mata hitam), Golden (emas), liar dan Meloniad (hitam).
“Semua spesies Axolotl mempunyai karakter sama iaitu pasif dan selesa apabila berada di tempat gelap.
“Oleh itu, pemilik perlu menyediakan tempat untuk haiwan itu bersembunyi seperti pokok, batu dan sebagainya untuk memberi keselesaan terutama apabila lampu dalam rumah dibuka,” katanya.
Katanya, biarpun dilihat seperti ikan, namun penjagaan Axolotl adalah berbeza.
“Perkara utama yang perlu dititikberatkan adalah memastikan suhu air sekitar 20 darjah Celcius sehingga 28 darjah Celcius dan bacaan pH sekitar enam hingga tujuh.
“Untuk memastikan suhu air sentiasa sejuk, saya menggunakan penyejuk,” katanya.
Tambahnya, kebersihan air perlu diberi perhatian untuk mengelakkan Axolotl diserang penyakit.
“Biasanya, 50 peratus ditukar sebelum dimasukkan air baru bersama antiklorin dan bio bakteria seminggu sekali bergantung kepada saiz akuarium.
“Selain itu, saya turut menggunakan pokok hidup Anubias barteri dan Java fern yang mempunyai daun lebat serta lebar untuk membantu menyahkan najis dalam akuarium,” katanya.
Berkongsi berkenaan diet Axolotl, dia memberi ikan kecil yang dilepaskan setiap hari dalam akuarium.
“Axolotl mempunyai deria bau yang kuat dan akan menyedut makanannya kerana tidak mempunyai gigi,” katanya.
Katanya, pemilik perlu sentiasa mencari masa memantau keadaan Axolotl supaya ia sentiasa dalam keadaan baik kerana haiwan ini sangat sensitif.
“Biarpun kurang bergerak, saya tenang apabila dapat meluangkan masa berjam-jam melihat Axolotl dalam akuarium.
“Pada masa sama, saya boleh pantau keadaan semasa Axolotl. Apabila melihat perubahan fizikal dan karakter termasuk yang secara tiba-tiba aktif bergerak, menggaru dan bertompok merah, anda perlu ambil langkah awal dengan mengeluarkannya dari akuarium dan kuarantin dalam peti sejuk.
“Ini bagi mengelakkan penyakit menjangkiti Axolotl lain dan pada masa sama dapat memulihkan kembali keadaan kesihatannya,” katanya.
Ditanya perancangan masa hadapan, dia ingin memiliki sebuah kedai Axolotl pertama di negara ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




