harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Orang ramai yang tidak menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC dinasihatkan mengelak ke kawasan sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Sabtu ini bagi mengurangkan kesesakan trafik.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Rusdi Mohd Isa berkata, beberapa lencongan dan penutupan jalan akan dilaksanakan sekitar kawasan itu seawal jam 9 pagi.
Menurutnya, pintu stadium akan dibuka bermula jam 4 petang dan penyokong kedua-dua pasukan dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal supaya tidak perlu bersesak-sesak.
“Sebanyak 4,968 lot parkir disediakan di sekitar stadium, sekiranya parkir telah penuh, kita akan membuat beberapa penutupan serta lencongan.
“Penutupan jalan lampu isyarat Sukom ke arah Jalan Merah Cagar, lencong ke Awan Kecil/ Awan Besar; penutupan susur ke Jalan Barat dari Lebuhraya Kesas, lencong ke Jalan Radin/ Sri Petaling.
“Penutupan susur ke Jalan Barat dari Jalan Radin, lencong ke Shah Alam, penutupan susur ke Jalan Barat dari Lebuhraya Kesas, lencong ke Jalan Radin/ Sri Petaling,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam istiadat itu 61 individu termasuk pesara dan bekas polis serta petugas pada era darurat menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN).
Rusdi berkata, seorang pegawai kanan, lima pegawai rendah turut menerima PJPN.
“PJPN dianugerahkan kepada petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian kepada negara semasa era darurat dalam perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu bagi tempoh 12 Julai 1948 hingga 31Julai 1960.
“Era insurgensi komunis pada 17 Jun 1968 hingga 2 Disember 1989 di Malaysia, juga bagi Sabah dan Sarawak pada 1962 hingga 17 Oktober 1990 yang dikenali sebagai Perkhidmatan Semasa Darurat,” katanya.
Beliau berkata, penganugerahan itu sebagai penghargaan kepada wira negara selain memberi motivasi kepada warga PDRM lain untuk meneruskan khidmat dengan lebih cemerlang.
© New Straits Times Press (M) Bhd



