Muhyiddin tak cukup SD untuk dilantik PM pada 2022 – Ahmad Zahid

Muhyiddin tak cukup SD untuk dilantik PM pada 2022 – Ahmad Zahid

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Perikatan Nasional (PN) tidak memiliki jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan pada 2022 apabila hanya mempunyai 105 Akaun Bersumpah (SD).

Ahmad Zahid berkata, jumlah dimiliki Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mencukupi kerana berlaku pertindihan SD membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Barisan Nasional (BN).

“Sebenarnya dia (Muhyiddin) tidak cukup jumlah kerusi (bentuk kerajaan).

“Apa yang dikatakan beliau (Muhyiddin) ini Setiausaha Agung (Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) saksi hidup 115 SD yang dikatakan ada itu termasuk 10 SD daripada Ahli Parlimen (BN) yang menandatangani dua SD.

“Dengan BN pun dia tandatangan, dengan PN pun mereka tandatangan. Itu sebabnya jumlah sebenar hanya ada 105 SD sahaja, dan jumlah itu tidak cukup nak bentuk kerajaan,” katanya pada sidang media selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan Muhyiddin menyerahkan dokumen mengandungi 115 SD Ahli Parlimen untuk melantik beliau sebagai Perdana Menteri ke-10 kepada polis, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan, setiap calon Parlimen BN perlu menandatangani tiga dokumen dengan rakaman video di hadapan Pesuruhjaya Sumpah dan tiga peguam.

“Satu menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada Pengerusi BN untuk membentuk kerajaan atau mewujudkan kerajaan campuran atau sebab tindakan bagi ke arah pembentukan kerajaan.

“Kedua menandatangani dokumen bahawa kerusi yang dimenangi itu adalah kerusi parti dan bukannya individu manakala dokumen ketiga jika mereka keluar parti atau menyokong pihak lain, mereka mesti membayar RM100 juta denda.

“Ketiga-tiga dokumen ini ditandatangani, dengan rakaman video di depan Pesuruhjaya Sumpah dan tiga peguam.

“Jadi, bagaimana kalau berlaku gila talak (Muhyiddin) itu mahu menafikan situasi sebenarnya yang dia tidak cukup jumlah (SD),” katanya.

Semalam, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyerahkan beberapa dokumen kepada polis sepanjang tempoh sejam memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu kaum, agama dan raja (3R) dalam satu ucapannya ketika berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini.

Muhyiddin dilaporkan berkata, dokumen itu adalah dua surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 20 November 2022, yang mengandungi titah perintah Yang di-Pertuan Agong Ke-16 meminta mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang lain untuk menjadi Perdana Menteri menghantar Akuan Berkanun kepada Istana Negara selewat-lewatnya pada 21 November 2022 sebelum 2 petang.

Beliau dilapor berkata, dokumen kedua adalah 114 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang telah diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022, 1.28 tengah hari, sebelum tempoh asal ditetapkan tamat dan satu lagi Akuan Berkanun yang diserahkan kepada Istana Negara pada 22 November 2022.

Selain itu beliau dipetik berkata, turut diserahkan Surat Akuan Penerimaan Akuan Berkanun daripada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim, 21 November 2022 yang mengesahkan beliau menerima dokumen itu serta dokumen lain berkaitan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top