ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ia kelihatan seperti mudah buat beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk melangkah ke suku akhir Terbuka Jepun selepas kembali dari Sukan Olimpik Paris 2024.
Namun, mereka mengakui masih banyak perkara perlu diperbaiki apabila menyambung saingan di Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu.
Sebentar tadi, mereka mencatat kemenangan straight set ke atas pasangan Denmark, Julie Finne-Ipsen-Mai Surrow 21-11, 22-20 di Yokohama Arena untuk melangkah ke suku akhir, esok.
Bagaimanapun, Thinaah mengakui banyak lagi perkara perlu dipertingkatkan dan tidak menyangka mampu bangkit pantas selepas beraksi sehingga ke separuh akhir di Paris 2024.
“Kami perlu memulihkan keadaan dengan baik untuk menyambung aksi cemerlang esok.
“Mungkin selepas beraksi di Olimpik ia membantu kami kekal cergas,” katanya ketika ditemuramah BWF, hari ini.
Ujar Thinaah, dia dan Pearly sangat berharap mereka mengekalkan prestasi dan momentum sama seperti di Paris 2024.
Gandingan ke-10 dunia itu bakal berdepan cabaran getir apabila menentang pilihan kedua dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning di suku akhir, esok untuk mencari slot ke separuh akhir.
Sementara itu, Pearly mengakui agak mencabar untuk membuat peralihan daripada Olimpik kepada Jelajah Dunia BWF, tetapi semuanya berjalan lancar apabila mereka sentiasa mengadakan perbincangan bersama barisan jurulatih.
“Memang agak sukar, namun kami sentiasa berbincang bersama termasuk dengan jurulatih, mungkin itu membuatkan kami cepat untuk menyesuaikan diri,” katanya.
Turut mengikut jejak langkah Pearly-Thinaah ke suku akhir adalah satu lagi pasangan beraksi Paris 2024, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menumpaskan Mads Vestergaard-Christine Busch dari Denmark, 21-13, 21-13 dan bakal berdepan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China.
Sementara itu, nasib berbeza buat dua beregu lelaki negara apabila pilihan kelapan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mara ke suku akhir, manakala Choong Hon Jian-Haikal Nazri terkandas di pusingan kedua.
Sze Fei-Izzuddin tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han selepas mencatat kemenangan straight set 21-14, 24-22 dalam aksi di Yokohama Arena.
Menanti mereka di suku akhir ialah pilihan keempat dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang menumpaskan Hon Jian-Haikal 16-21, 21-8, 21-15.
Nasib sama turut menimpa perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao selepas tumbang di tangan wakil tuan rumah yang juga pilihan kelapan, Kodai Naraoka 23-21, 10-21, 15-21.
© New Straits Times Press (M) Bhd



