Hanya jumpa selipar, SAR mangsa lubang benam tangguh

Hanya jumpa selipar, SAR mangsa lubang benam tangguh

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selipar dipercayai milik wanita warga India yang terjatuh dalam lubang benam di Jalan Masjid India di sini, menjadi satu-satunya petunjuk dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, selipar itu ditemui terapung berhampiran lokasi mangsa dilaporkan terjatuh kira-kira 8.30 pagi Jumaat.

“Setakat ini, itu saja petunjuk yang ditemui di lokasi dan usaha pencarian di kawasan itu sudah dilaksanakan 100 peratus, namun masih gagal mengesan mangsa.

“Operasi pencarian mangsa menghadapi kesukaran kerana arus deras, selain terdapat gas di dalam saluran kumbahan yang berbahaya kepada pasukan penyelamat.

“SAR juga terpaksa ditangguhkan pada 12.30 tengah malam ini kerana hujan dan pencarian akan disambung 9 pagi nanti,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, di sini, sebentar tadi.

Turut hadir Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Nordin Pauzi; Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK) Narendran Maniam.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, kawasan kejadian akan terus dikawal pihak polis bagi memastikan keselamatan orang awam.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan laporan pihak berkuasa, kawasan sekitarnya masih selamat dilalui namun, orang ramai dinasihatkan mengurangkan pergerakan berhampiran tempat kejadian.

Sementara itu, Narendran berkata, saluran kumbahan bersaiz 1.5 meter dengan panjang tujuh kilometer itu di tempat kejadian mempunyai empat perangkap, yang mana mangsa berkemungkinan tersangkut di salah satu perangkap.

Katanya, pihaknya akan sama-sama membantu pasukan penyelamat dengan menelitinya satu persatu sekali gus, melancarkan operasi SAR.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top