Pusat terapi warga kota

Pusat terapi warga kota

asyikin.mat@hmetro.com.my

Tiga hutan rekreasi di Lembah Klang antara contoh landskap terapi hutan yang berpotensi dibina di negara ini sebagai ruang terapi untuk kesejahteraan kesihatan masyarakat.

Ia adalah Taman Tugu Negara, Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (dalam Hutan Bukit Nanas) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong.

Pensyarah Fakulti Seni Reka dan Seni Bina Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Shureen Faris Abd Shukor berkata, tiga lokasi ini menjadi tumpuan ramai kerana kedudukannya yang strategik berada di bandar dan mudah diakses.

Menurutnya, terapi hutan kini dianggap sebagai salah satu keperluan untuk kesejahteraan kesihatan masyarakat.

“Ini kerana kehidupan moden menambah tekanan dan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan.

“Maka terapi hutan menjadi alternatif bagi mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, banyak kajian mendapati aktiviti yang dijalankan di persekitaran semula jadi mempunyai kebaikan terhadap kesihatan mental dan fizikal.

“Dalam satu kajian lain didapati terdapat tiga kekangan dalam penggunaan kawasan rekreasi hutan yang sering dibangkitkan masyarakat.

“Kekangan utama ialah kekurangan masa, kekurangan maklumat dan faktor keselamatan,” katanya.

Katanya, kekurangan masa disebabkan kesibukan rutin harian dengan kerjaya dan keluarga.

“Manakala kekurangan maklumat mengenai kewujudan hutan rekreasi berkenaan dan kemudahan yang disediakan.

“Satu lagi ialah faktor keselamatan yang mana masyarakat terperangkap dengan pemikiran dalam hutan terdapat ancaman haiwan berbisa dan paling ditakuti adalah individu tidak dikenali,”katanya.

Dr Shureen Faris berkata, oleh itu kerajaan perlu menyokong pembangunan landskap terapi hutan termasuk menyediakan sejumlah peruntukan.

Menurutnya, ini supaya lebih banyak pembangunan landskap terapi hutan dapat dilaksanakan di Malaysia yang lengkap dengan kemudahan asas.

“Senario ini berbeza dengan negara Scandinavia dan Eropah yang mana lebih ke hadapan mewujudkan landskap terapi hutan sebagai satu keperluan kesejahteraan rakyatnya.

“Saya banyak mengikuti lawatan kerja di Poland dan diberitahu bahawa rakyat negara ini sangat mudah pergi hutan untuk mendampingi alam bagi meredakan tekanan.

“Mereka ke hutan sama ada berjalan kaki atau menaiki basikal kerana kedudukan hutan berhampiran kediaman.

“Negara Scandinavia, Eropah dan Poland banyak membuat kajian terhadap hutan bagi memelihara serta memulihara khazanah ini,” katanya.

Jelasnya, di Asia, negara yang banyak membuat kajian mengenai penggunaan hutan ialah China.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top