Sedar-sedar hilang lebih RM160,000

Sedar-sedar hilang lebih RM160,000

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Niatnya hanya untuk menambah pendapatan namun seorang pembantu pelancong terpaksa berputih mata selepas kerugian lebih RM160,000 akibat ditipu sindiket menawarkan pekerjaan sambilan yang tidak wujud.

Mangsa, lelaki berusia 39 tahun didakwa mencari pekerjaan sambilan, berurusan dengan seorang suspek melalui aplikasi Wechat yang mana menawarkan keuntungan tinggi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata untuk memenuhi syarat terbabit, mangsa diminta membeli beberapa barangan menerusi laman web diberikan.

Beliau berkata, jika membuat pembelian, suspek akan memberikan keuntungan berlipat ganda kepada mangsa seperti mana dijanjikan sebelum ini.

Katanya, selepas tertarik dengan tawaran itu, mangsa sejak 28 Mei hingga 28 Julai lalu sudah melakukan pemindahan wang ke dalam 18 akaun berbeza secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM163,731.

“Selepas memasukkan wang terbabit, suspek meminta mangsa membuat pembayaran lain terlebih dahulu jika ingin mendapatkan keuntungan hasil pekerjaan atau pembelian barangan.

“Namun, mangsa mulai curiga dan enggan menuruti arahan dikehendaki suspek. Pada masa sama, mangsa mengesyaki dia mula ditipu sebelum membuat laporan di Balai Polis Ayer Hitam,” katanya dalam kenyataan.

Shahrulanuar berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya tawaran kerja sambilan di media sosial yang menjanjikan pulangan keuntungan atau komisyen tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top