Washington: Ejen sempadan Amerika Syarikat (AS) memintas sebuah trak yang membawa methamphetamine bernilai lebih AS$5 juta (kira-kira RM21.7 juta) di sempadan AS-Mexico, yang disembunyikan di dalam bungkusan penghantaran tembikai.
Portal BBC melaporkan, dadah itu dibungkus dalam plastik yang dicat warna hijau untuk menyerupai tembikai dan diletakkan di antara tembikai sebenar.
Susulan itu, pegawai merampas lebih dua tan methamphetamine dalam 1,220 bungkusan.
Menyembunyikan dadah dalam hasil pertanian adalah cara biasa untuk menyeludup bahan terlarang merentasi sempadan.
Paling popular adalah menerusi penghantaran pisang, namun pegawai, baru-baru ini, menemukan dadah dalam keju Gouda dan avokado.
Pegawai Kastam dan Perlindungan Sempadan AS berkata, pihaknya menahan sebuah trak yang menarik sebuah treler di sempadan dengan Mexico di Otay Mesa.
Dokumen menunjukkan kenderaan itu untuk penghantaran untuk tembikai, tetapi pemeriksaan mendedahkan bungkusan di dalam treler itu mengandungi methamphetamine.
Rampasan itu berlaku seminggu selepas pegawai di lintasan sempadan yang sama menemukan hampir 300 kilogram (kg) methamphetamine dalam penghantaran saderi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




