Norris enggan fikirkan kejuaraan F1

Norris enggan fikirkan kejuaraan F1

Zandvoort, Belanda: Pemandu McLaren Lando Norris berkata adalah bodoh untuk memperkatakan peluangya meraih gelaran Formula Satu (F1) selepas dia menjuarai Grand Prix Belanda semalam.

Norris, 24, menamatkan perlumbaan 22.896 saat di depan Verstappen, perbezaan terbesar setakat tahun ini tetapi jurang dengan juara dunia tiga kali itu terlalu jauh ketika berbaki sembilan perlumbaan.

“Saya bekerja keras sepanjang tahun dan masih ketinggalan 70 mata di belakang Max (Verstappen). Jadi, agak bodoh untuk memikirkannya ketika ini,” katanya ketika ditanya mengenai kejuaraan F1.

“Saya hanya fokus satu demi satu perlumbaan dan kekal dengan apa saya lakukan sekarang kerana tiada guna memikirkan cabaran di depan atau selepasnya.”

Tiada pelumba F1 mampu mengatasi defisit sebesar itu tetapi penasihat Red Bull Helmut Marko tetap enggan mengambil mudah pesaing mereka.

“Seperti Max katakan sebelum ini, pasukan perlu kerja lebih keras dan perlu perbaiki prestasi kerana penguasaannya boleh terancam,” katanya kepada laman sesawang autosport.

Norris mendapat lapan mata tambahan semalam, satu daripadanya untuk pusingan terpantas tetapi dia perlukan Verstappen kehilangan banyak mata pada beberapa bulan datang, sesuatu yang tidak mungkin dilakukan pemandu Belanda itu.

Rakan sepasukan McLaren Oscar Piastri juga perlu merampas mata daripada Verstappen untuk meningkatkan peluang Norris tetapi pemandu Australia itu hanya menduduki tempat keempat.

Ia juga akan dapat membantu jika pemenang tiga perlumbaan musim ini Mercedes dan juara dua kali Ferrari memberi cabaran lebih sengit kepada Red Bull sehingga penghujung musim.

McLaren hanya 30 mata di belakang Red Bull dalam pertarungan berpasukan dan masih berpeluang menjuarai gelaran pengeluar kali pertama sejak 1998.

Perlumbaan F1 diteruskan hujung minggu ini dengan GP Itali berlangsung di luar Milan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top