TFC harap Bonilla suntik aura positif

TFC harap Bonilla suntik aura positif

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner meletakkan harapan tinggi agar penyerang baharunya, Nelson Bonilla mampu memberikan aura positif buat skuad Penyu.

Beliau berkata, pengalaman dimiliki penyerang berusia 34 itu diharapkan dapat menyuntik kebangkitan pasukannya dalam mengharungi baki saingan Liga Super pada musim ini.

Pada masa sama, beliau turut mengharapkan barisan pemain muda belajar sesuatu daripada kapten skuad kebangsaan El Salvador itu.

“Berdasarkan reputasi, Bonilla antara penyerang cemerlang bersama bekas pasukannya dalam saingan Liga Thailand sebelum berhijrah ke Terengganu.

“Kualiti ada padanya sesuai dan diharapkan dapat menambah nilai pasukan TFC dalam mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.

“Semestinya pengalaman dan kepimpinannya diharapkan mampu menjadi contoh kepada pemain lain dan seterusnya bakal meningkatkan lagi prestasi terutama pemain muda dan pasukan,” ujar Steinbruckner.

Terdahulu bekas pemain kelab Sukhothai dalam Liga Thailand itu ‘dirantai’ pihak pengurusan selama lapan bulan bermula September 2024 sehingga April 2025.

Kehadiran pemain yang merekodkan 65 jaringan dalam 130 penampilan selama tujuh musim bersama kelab Thailand itu diharapkan mampu memberikan impak positif di jentera serangan pasukan yang sebelum ini dipikul penyerang kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top