Kerajaan dijangka kaji semula dasar perancangan bandar di KL

Kerajaan dijangka kaji semula dasar perancangan bandar di KL

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan dijangka mengkaji semula dasar perancangan bandar di Kuala Lumpur bagi mengurangkan risiko insiden seperti kejadian tanah jerlus di Masjid India, pada Jumaat lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif untuk mengenal pasti tindakan segera dan strategi jangka panjang.

“Saya komited untuk menangani isu ini secara lebih serius. Beberapa insiden yang berlaku di Kuala Lumpur sejak akhir-akhir ini adalah satu ruang untuk semua pihak termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), meneliti dan menambah baik kaedah pemantauan serta tindak balas kepada insiden seperti ini.

“Sehubungan itu, saya mengarahkan Datuk Bandar untuk segera bekerjasama secara dekat dengan ahli geologi dan pakar infrastruktur untuk menilai serta mengurangkan sebarang risiko insiden seperti ini pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan DBKL juga akan memperkukuhkan prosedur operasi standard (SOP) pembangunan dengan memastikan kajian geoteknik oleh jurutera bertauliah dikemukakan di peringkat lebih awal iaitu permohonan kelulusan perancangan.

Beliau menyeru semua pihak kekal tenang kerana keutamaan pihaknya kini adalah keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga Kuala Lumpur.

“Saya menghargai keprihatinan semua pihak terkait isu tanah mendap di sekitar Kuala Lumpur.

“Adalah penting untuk isu ini ditangani dengan fakta dan tindakan yang berasas, bukan hanya retorik dan tindakan yang boleh menyebabkan keresahan rakyat.

“Saya ingin sarankan mana-mana pihak tidak menangguk di air keruh. Tiada keperluan untuk mencari publisiti murahan atau mempolitikkan isu ini. Fokus kita sekarang adalah untuk mencari penyelesaian yang konstruktif demi keselamatan dan kesejahteraan semua,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan turut berhubung secara dekat dengan Duta Besar India ke Malaysia, B N Reddy bagi memberikan perkembangan semasa berhubung operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masih dijalankan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, operasi pencarian mangsa tanah jerlus di Masjid India, yang menggunakan ‘jetter’ (pembersih saluran paip bertekanan tinggi) masih diteruskan sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dilaporkan berkata, teknik penyemburan air bertekanan tinggi itu dilakukan selepas mendapati terdapat objek atau serpihan yang menghalang laluan air di dalam lurang kumbahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top