Seorang pekerja pembinaan di Seri Alam kerugian sebanyak RM123,470.04 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket pelaburan tidak wujud.
Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun itu terpedaya dengan skim pelaburan saham atas talian yang menjanjikan pulangan lumayan.
Kejadian bermula pada 1 Ogos lalu apabila mangsa menerima mesej WhatsApp yang mengajaknya menyertai skim pelaburan melalui aplikasi ‘Bitbest’.- Katanya.
Menurutnya, mangsa dijanjikan pulangan 88 peratus daripada jumlah pelaburan, yang membuatkan dia tertarik untuk mencuba. Dia kemudiannya memuat turun aplikasi tersebut dan mendaftarkan maklumat peribadi.
Cuba tuntut keuntungan tapi suspek minta tambah lagi duit…
Mangsa juga melakukan sembilan transaksi bayaran ke dalam lima akaun bank berbeza dari 1 Ogos hingga 22 Ogos dengan jumlah keseluruhan RM123,470.04.
Sepanjang tempoh itu, mangsa cuba menuntut keuntungan yang dijanjikan tetapi suspek memberikan pelbagai alasan dan memintanya membuat bayaran tambahan.- Jelas Mohd Sohaimi,
Akhirnya, mangsa menyedari dirinya telah ditipu dan membuat laporan polis pada Sabtu lalu dan kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.





