sukan@hmetro.com.my
Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) optimis penganjuran Hari Sukan Negara (HSN) 2024 pada Oktober depan mampu menarik penyertaan 4.5 juta orang dari seluruh negara.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, untuk HSN 2024 bagi peringkat daerah dan negeri kecuali Sarawak akan bermula 11 hingga 13 Oktober depan, manakala penganjuran bagi peringkat kebangsaan dijadualkan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Oktober di perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya.
Beliau berkata, HSN 2024 peringkat negeri dan bahagian di Sarawak diselaraskan semula kepada 19 Oktober kerana bagi menghormati sambutan ulang tahun kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 14 Oktober itu.
“Sasaran penyertaan seramai 4.5 juta orang di seluruh negara meliputi segenap lapisan masyarakat termasuk wanita, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.
“Antara objektif HSN 2024 adalah memberikan kesedaran akan kepentingan gaya hidup aktif dan cergas menerusi aktiviti sukan dan rekreasi.
“Ia bertujuan meningkatkan penglibatan rakyat dalam aktiviti sukan serta rekreasi seterusnya mempergiatkan pembudayaan sukan dalam kalangan masyarakat.
“Selain itu memperkukuhkan semangat ukhuwah dan integrasi nasional menerusi aktiviti sukan dan rekreasi. Menyuntik sinergi pembangunan ekonomi menerusi pemerkasaan sektor industri sukan dan rekreasi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pra Perasmian HSN 2024 di Menara KBS, di sini, hari ini.
Sementara itu, Adam Adli berkata, KBS menggunakan tema ‘Cergas Bersama’ dengan harapan agar rakyat Malaysia sentiasa mengamalkan gaya hidup aktif dan cergas sepanjang tahun.
Pelbagai program dan aktiviti pembangunan sukan disediakan oleh kerajaan menerusi KBS ke arah
menjadikan Malaysia sebagai negara bersukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
