mdroji@bh.com.my
Kuching: Seorang lelaki warga Indonesia disyaki hilang di kawasan Gunung Tabai, Bau, sejak 13 Ogos lalu.
Bagaimanapun kejadian itu hanya diketahui selepas polis menerima panggilan daripada pejabat Konsulat Republik Indonesia di Kuching pada jam 5.23 petang Jumaat lalu, iaitu 10 hari selepas lelaki itu dikatakan hilang.
Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Jawai Francis Kempas berkata, susulan laporan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan Sabtu lalu.
“SAR membabitkan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Sarawak Forestry Corporation (SFC).
“Siasatan juga masih giat dijalankan bagi mengenalpasti saksi yang boleh memberi petunjuk dalam operasi SAR itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, Jawai memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung warga Indonesia itu supaya tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Colin Raape di talian 017-8171750.
Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam serta mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.
“Orang ramai juga disaran agar tidak menyebarkan berita tidak tepat di media sosial,” katanya.
Gunung Tabai pernah menarik perhatian masyarakat negeri ini berikutan tiga kejadian pelombong haram mencari emas di kawasan itu maut akibat tanah runtuh.
Kejadian pertama pada 2011 mengorbankan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun manakala kejadian kedua pula mengorbankan seorang lelaki pada tahun 2012 dan mayat mangsa terus bersemadi di dalam terowong berikutan usaha untuk mengeluarkannya menghadapi kesukaran.
Kejadian ketiga yang mengorbankan seorang lelaki berusia 25 tahun pula berlaku pada Mac 2021.
Berikutan tiga kejadian meragut nyawa itu, polis menutup kawasan gunung berkenaan dan pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Tanah dan Survei (JTS) pula mengisytiharkan Gunung Tabai sebagai kawasan larangan.
Pada Mac 2021 juga, kerajaan Sarawak mewartakan Gunung Tabai sebagai Taman Negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




