London: Arsenal sudah menyelesaikan perpindahan juara Euro 2024, Mikel Merino dari Real Sociedad, semalam.
Pemain tengah Sepanyol itu dilaporkan akan menelan belanja sebanyak 32 juta euro RM juta) selaku bayaran awal, dengan tambahan 5 juta euro (RM juta) sebagai bayaran tambahan.
“Mikel adalah pemain yang akan membawa kualiti luar biasa kepada kami dengan pengalaman dan aksi versatil yang dimilikinya.
“Dia sudah bermain di tahap tertinggi di peringkat kelab dan antarabangsa untuk beberapa musim sekarang.
“Mikel akan menjadikan pasukan kami jauh lebih kuat dengan kemampuan teknikalnya, bersama dengan watak dan personaliti yang positif,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta.
Merino menjaringkan gol kemenangan dalam kemenangan dramatik Sepanyol ke atas tuan rumah, Jerman pada perlawanan suku akhir Euro.
Pemain berusia 28 tahun itu menghabiskan enam tahun terakhir di Sociedad, tetapi memiliki pernah memiliki pengalaman beraksi di Liga Perdana.
Merino pernah bermain semusim di Newcastle pada 2017/18 tetapi menghadapi kesukaran untuk menyerlah sebelum kembali ke Sepanyol.
Dia menjadi pemain baharu kedua Arsenal dalam jendela perpindahan ketika ini selepas ketibaan pemain pertahanan antarabangsa Itali, Riccardo Calafiori.
Penjaga gol, David Raya yang dipinjamkan dari Brentford juga diberikan kontrak tetap.
“Mikel adalah sasaran utama kami pada musim panas ini, dan kami mengenal pastinya sebagai pemain yang sesuai dengan pasukan memperbaiki prestasi kami, seiring dengan usaha kami untuk membina kejayaan daripada prestasi cemerlang musim lalu,” kata pengarah sukan Arsenal, Edu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




