sukanteam@nstp.com.my
KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri selepas terikat 0-0 dengan PJ City FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, sebentar tadi.
Keputusan seri menyebabkan skuad Penyu kini jatuh satu anak tangga di kedudukan ketiga manakala tempat kedua milik Kedah yang menumpaskan Sri Pahang 3-1.
Sepanjang babak pertama perlawanan, tiada sebarang jaringan dihasilkan, malah aksi kedua-dua pasukan juga jelas hambar dan dilihat tiada idea untuk merencana gerakan menarik.
Hanya dua percubaan tepat dimiliki skuad Penyu kendalian Nafuzi Zain menerusi penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah pada minit ketiga yang berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi.
Satu lagi percubaan menerusi sepakan percuma pemain tengah, Makan Konate pada minit ke-35 yang sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol pelawat.
Skuad Penyu yang menurunkan penjaga gol utama skuad ‘adik’ Terengganu FC II (TFC II), Mohd Suhaimi Husin selepas penjaga gol utamanya, Rahadiazli Rahalim tidak disenaraikan selepas mengalami kecederaan serius di bahagian lutut ketika sesi latihan pasukan Rabu lalu tidak banyak memegang bola.
Skuad The Phoenix kendalian P Maniam hanya memperolehi satu peluang pada minit kesembilan menerusi K Gurusamy yang melakukan hantaran kepada D Kugan, namun gerakan itu tidak mencemaskan benteng tuan rumah.
Bersambung babak kedua, Nafuzi memasukkan tiga tenaga baharu, Faiz Nasir, Nasir Basharudin dan Shahrul Nizam Ros Hasni manakala P Maniam memasukkan tiga pemain gantian, Mohd Khyril Muhymeen Zambri, Salamon Raj dan R Kogileswaran namun masih buntu memburu jaringan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




