Tempo permainan pantas cabaran besar pemain tenis kerusi roda negara

Tempo permainan pantas cabaran besar pemain tenis kerusi roda negara

Paris: Mengadaptasi corak permainan pantas pemain berkelas dunia adalah rintangan besar perlu diharungi dua atlet tenis kerusi roda negara, Abu Samah Borhan dan Mohamad Yusshazwan Yusoff pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

Ketua jurulatih skuad tenis kerusi roda negara, Ahmad Hazeeq Ahmad Hisham berkata, kebanyakan pihak lawan terutama mereka yang menduduki kelompok 20 teratas kini sudah mula bermain dengan satu lantunan bola berbanding dua yang sememangnya dibenarkan dalam tenis kerusi roda.

“Selepas edisi Sukan Paralimpik Tokyo 2020, trend sekarang kebanyakan pemain terbaik sudah tukar permainan menjadi lebih laju dan matikan terus (lawan) sebab kebiasaannya permainan tenis kerusi roda memang lama sehingga boleh cecah empat jam untuk satu perlawanan.

“Pemain kita masih main dua lantunan dan nak biasakan itu perlahan sikit. Perlu selalu berlatih kerana nak tukar permainan mereka ambil masa lama, insya-Allah perlu masa enam bulan dan harap tahun depan dapat tengok perubahan corak permainan,” katanya kepada Bernama.

Abu Samah dan Mohamad Yusshazwan akan beraksi dalam kedua-dua acara perseorangan dan beregu lelaki pada saingan berlangsung di venue ikonik, Roland Garros, di sini.

Abu Samah yang membuat penampilan ketiga berturut-turut selepas Rio 2016 dan Tokyo 2020, akan membuka saingan dalam acara perseorangan lelaki menentang pemain tuan rumah, Gaetan Menguy.

Mohamad Yusshazwan pula yang bermain buat kali pertama di Sukan Paralimpik dijadualkan bertemu wakil Korea Selatan, Ho Won Im, pada pusingan pertama.

Bagi acara beregu, gandingan negara yang mendapat bye pada pusingan pertama akan membuat perhitungan menentang pilihan kelima dari Sepanyol, Daniel Caverzaschi-Martin De La Puente dalam pusingan kedua.

Biarpun menjangkakan tugas berat dalam acara perseorangan, Ahmad Hazeeq berkata, peluang lebih terbuka buat kedua-dua anak buahnya untuk membuat kejutan dalam acara beregu.

“Jika acara perseorangan, memang ada jurang antara pemain negara dan jaguh dunia lain, namun bagi acara beregu ini 50-50 dan macam-macam boleh berlaku.

“Walaupun menentang 10 pasangan terbaik, mereka boleh terperangkap dengan permainan kita dan itu peluang bagi beregu kita untuk membalas serangan lawan,” katanya.

Jurulatih berusia 38 tahun itu optimis walaupun rekod pertemuan tidak memihak kepada gandingan negara, namun pemainnya tewas melawan di tangan wakil Sepanyol dalam tiga perlawanan sebelum ini.

Sukan Paralimpik Paris 2024 dibuka secara rasmi bermula hari ini dan berakhir 8 September ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top