am@hmetro.com.my
Ipoh: Rumah lokasi mayat bayi ditemukan ditanam di bawah lantai simen di bahagian parkir di Taman Sri Rokam, di sini, dikatakan dihuni pasangan lelaki dan wanita sejak empat tahun lalu.
Jiran, K Kalaselvi, 56, berkata bagaimanapun, pasangan disyaki warga Indonesia itu dikatakan ‘lari’ dari rumah bersama kanak-kanak lelaki masih kecil dipercayai anak sulung mereka, sejak dua bulan lalu.
Katanya, selain tidak ramah dan mesra dengan jiran sekeliling, wanita itu juga menampakkan reaksi janggal khususnya selepas dipercayai melahirkan anak kedua.
“Sebelum ini kami bersembang ala kadar sahaja apabila terserempak ketika hendak ke pasar.
“Lepas bersalin anak kedua, kami langsung tidak bersembang malah apabila saya memandang mukanya, dia buat tak tahu saja.
“Saya lihat selepas bersalin pun dia macam biasa berjalan ke pasar. Ada orang (jiran lain) beritahu dia sudah bersalin anak kedua, tapi saya hairan kerana tidak pernah pula lihat anaknya.
“Selain perutnya juga sudah tidak kelihatan mengandung, tangisan bayi juga tidak kedengaran, ketika ditanya pasangan itu memaklumkan mereka memberikan bayinya kepada seseorang di Johor untuk dijaga,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, mereka hanya mengetahui pasangan itu melarikan diri daripada pemilik rumah
“Kami terkejut dengan kehadiran ramai polis di sini kerana baru tahu cerita sebenar.
“Sedih memang sedih kerana kalau tak boleh jaga anak, bagi dekat orang pun ada saja yang sudi dan boleh jaga. Kasihan bayi itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




