Oleh Helmi Talkah
helmi.talkah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah bersedia membuat pelaburan lebih besar ke atas barisan pemain muda negara dengan mereka akan diberi pendedahan secukupnya di pentas antarabangsa.
Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata apabila keadaan kembali pulih daripada pandemik COVID-19, badan induk itu akan menghantar pemain muda negara beraksi dalam 10 hingga 15 kejohanan setahun bagi membuktikan kemampuan dan memperbaiki kedudukan ranking mereka.
“Selepas ini tiada lagi istilah pemain senior dan remaja. Sebaliknya, pemain akan dihantar ke kejohanan berdasarkan kedudukan ranking agar, mereka mempunyai daya saing yang tinggi.
“Tidak kiralah pemain itu berusia 17 atau 18 tahun, sekiranya mereka berpotensi untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, kami akan terima,” katanya.
Percaturan BAM untuk mengetengahkan pemain muda negara di pentas antarabangsa sudah mula menampakkan hasil positif menerusi kejayaan yang dilakar mereka termasuk menerusi beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang menjuarai Terbuka Switzerland, awal bulan lalu.
Tidak cukup dengan itu, pemain muda negara turut cemerlang apabila meraih tiga kejuaraan pada saingan Terbuka Poland, Ahad lalu menerusi kejayaan pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong; beregu lelaki, Man Wei Chong-Kai Wun Tee dan beregu campuran, Choong Hon Jian-Toh Ee Wei.
“Saya ucapkan tahniah kepada pemain kita yang menang tiga kejuaraan di Terbuka Poland. Sebab itu, saya katakan paling penting adalah kita terus memberi peluang kepada mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd